KUALA LUMPUR 6 Julai – Pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajak semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat sebagai satu tanda positif dalam Malaysia Baharu yang lebih progresif dan dinamik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, pelawaaan itu juga merupakan usaha Perdana Menteri membantu orang Melayu dalam arena politik ke satu tahap lebih baik.
Tambahnya, parti yang sedia ada tidak mungkin dapat memberi nafas baharu kepada kuasa politik orang Melayu kerana terlibat dengan pelbagai isu seperti rasuah dan idea-idea tidak bernas.
“Jika kita faham kenyataan beliau (Dr. Mahathir), kita mempunyai dasar-dasar yang kian progresif untuk bangunkan Malaysia dan kita tahu apa yang berlaku pada UMNO dan pemimpin-pemimpin dia.
“Kita juga tahu bagaimana Pas juga dalam keadaan sekarang bersama UMNO tidak memberi kekuatan kepada satu dasar yang mahu dibawa bersama oleh sebab itu beliau cadangkan bahawa parti-parti Melayu lain semua masuk Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program ‘Street Raya’ Masjid dan Surau Jumaat di Wilayah Persekutuan 2019 di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Semalam, Tun Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO untuk menyertai Bersatu dalam usaha menyatupadu serta memperkasakan kuasa politik orang Melayu.
Jelas Dr. Mahathir, kewujudan semakin banyak parti politik Melayu menyebabkan potensi untuk mereka menang dalam pilihan raya semakin tipis. – UTUSAN ONLINE











