KUALA LUMPUR 6 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO sebagai sebuah parti menolak dengan baik dan tegas pelawaan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menyertai partinya.
Beliau berkata, ini kerana UMNO tidak sesekali mahu menjadikan partinya sebagai yang terdesak dan gilakan kuasa sehingga enggan memperbaiki diri dengan cara yang sewajarnya.
Sehubungan itu, tegas beliau, UMNO akan kekal menjadi UMNO dengan prinsip dan aspirasi yang jelas serta akan terus berikhtiar mengubah diri menjadi lebih baik melalui cara mahupun jalan tersendiri demi orang Melayu, Islam dan Malaysia yang lebih maju.
“Seingat saya, UMNO sudah mati, seperti yang didakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“UMNO sudah rosak dan parti yang korup kerana kononnya mahu mempertahankan sesetengah pemimpin sahaja seperti yang dikecam Dr. Mahathir. Jadi, adakah kini (Dr. Mahathir) dan tiba-tiba melihat UMNO sebagai parti mati yang hidup semula? Yang secara ajaib sudah tidak korup dan tidak rosak?
“Akan tetapi, apabila Bersatu yang mahu mendekati UMNO, malah mengajak parti ini untuk menyertai pasukan kecil mereka. Saya tergamam, malah saya kelu dan keliru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr. Mahathir yang mempelawa semua parti politik Melayu untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu. – UTUSAN ONLINE










