Majikan pekerja maut akibat tanah runtuh dihadapkan ke mahkamah - Utusan Malaysia

Majikan pekerja maut akibat tanah runtuh dihadapkan ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 2 Julai – Kontraktor projek pembinaan jalan berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus, di sini yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh sehingga mengorbankan sembilan pekerja warga asing tahun lalu dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Jenayah 2 di sini pagi tadi.

Kontraktor itu, Yuta Maju Sdn. Bhd. (Yuta Maju) dihadapkan atas empat pertuduhan yang mana Pengarahnya, Lai Sin Kian mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan dan meminta dibicarakan.

Kesemua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan pertama, Yuta Maju sebagai majikan didakwa telah gagal melantik pegawai keselamatan dan kesihatan yang cekap di tempat kerja.

Di bawah pertuduhan itu, syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(2), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994).

Bagi pertuduhan kedua, Yuta Maju sebagai majikan dituduh gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan beam terjatuh dari span keenam pada 11 Oktober 2018.

Untuk pertuduhan ketiga pula, syarikat itu sebagai majikan didakwa gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja ‘backfill’ tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada 19 Oktober 2018.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, syarikat berkenaan dituduh mengikut Seksyen 15(1) AKKP 1994.

Sementara itu, bagi pertuduhan keempat, Yuta Maju bersama Sin Kian dituduh sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja ‘backfill’ tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada 19 Oktober 2018 dan mengakibatkan sembilan orang maut.

Untuk pertuduhan keempat itu, mereka dituduh mengikut Seksyen 15(1) AKKP 1994 namun Mazdi mengklasifikasikan tuduhan berkenaan sebagai dilepaskan tanpa dibebaskan.

Hakim turut menetapkan 16 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen.

Kes itu dibawa oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) yang diwakili Pegawai Pendakwa, Norliza Abu Othman manakala Yuta Maju

diwakili peguam, S. Kanesh.

Dalam tragedi 19 Oktober tahun lalu, sembilan pekerja warga asing maut tertimbus manakala tiga lagi cedera selepas 13 kontena yang dijadikan tempat tinggal mereka ditimpa tanah runtuh.

Kejadian berlaku di tapak pembinaan jalan berkembar di Bukit Kukus, Paya Terubong di sini yang mana Yuta Maju dilantik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebagai kontraktor yang bertanggungjawab dalam projek lebuh raya bernilai RM545.6 juta berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini