PUTRAJAYA 2 Julai – Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini dalam fasa akhir merangka kertas cadangan mengenai pelaksanaan subsidi petrol bersasar.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nausution Ismail berkata, kertas cadangan yang dijangka akan dibentangkan ke Kabinet dalam tempoh dua minggu lagi itu disediakan bersama Kementerian Kewangan.
“Mekanisme dan perkara berkaitan telah dibincangkan dengan Kementerian Kewangan pada Rabu lalu dan akan mengambil masa seminggu dua lagi untuk dibentangkan kerana perlu mendapatkan komen daripada kementerian lain yang terbabit.
“Selesai sahaja (kertas cadangan) kita akan bentangkan pada Kabinet untuk dibincangkan seterusnya jika dipersetujui, maka kita berhasrat untuk melaksanakannya pada tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena ulang tahun pertama beliau sebagai Menteri KPDNHEP, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Saifuddin Nasution berkata, antara kaedah pelaksanaan yang diambil kira termasuk mengenalpasti data yang akan digunakan, implikasi kewangan yang perlu ditanggung Kementerian Kewangan, strategi komunikasi serta pemilikan jenis kenderaan.
Sebelum ini media melaporkan, Kerajaan Pakatan Harapan dijangka akan menggunakan mekanisme baharu bagi menggantikan cadangan penggunaan kad subsidi.
Mekanisme baharu tersebut merupakan subsidi berbentuk tunai dan akan dimasukkan secara terus ke akaun individu yang layak menerima bantuan berkenaan. – UTUSAN ONLINE











