SUNGAI PETANI 2 Julai – Dua orang remaja lelaki berumur 18 dan 19 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Sungai Petani kerana menjual rokok dan minuman keras yang belum diluluskan cukainya di sebuah kedai di Taman Kelisa Ria, Sungai Petani di sini, hari ini.
Ketua Kastam Daerah Sungai Petani, Mohd. Sukri Jusoh berkata, serbuan kira-kira pukul 10.30 pagi itu dilakukan pihaknya bersama empat orang anggota setelah menerima aduan awam dan risikan.
Kata beliau, siasatan awal mendapati kedua-duanya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 135 (1) (d), Akta Kastam 1967.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah rokok kretek, rokok putih dan minuman keras yang disyaki belum lulus cukai Kastam.
“Rokok itu bernilai RM162 dengan cukainya RM740, manakala minuman keras pula bernilai RM138 dengan cukainya, RM804,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, dua lelaki tersebut dibawa ke pejabat JKDM untuk siasatan lanjut.
“Kedua-duanya boleh dikenakan hukuman denda minimum RM100,000 hingga maksimum RM500,000 atau penjara minimum enam bulan hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah seksyen itu.
“Bagi mengelak terkena hukuman itu, peniaga perlu mengelak daripada menjual rokok dan minuman keras yang belum lagi dicukaikan kerana kecuaian boleh membawa kesan buruk kepada diri sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE











