BENTONG – Seorang peniaga terbunuh selepas kereta yang dipandunya terbabas di Kilometer 6 Jalan Bentong-Karak, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi itu, Lai Kim Yang, 32, dari Taman Bentong Makmur yang memandu Proton Waja meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, mangsa memandu seorang diri dari arah Kuala Lumpur menghala ke Bentong sebelum terbabas ke kanan jalan.
“Kereta mangsa telah melanggar satu tunggul kayu di bahu jalan menyebabkan kepalanya cedera dan disahkan meninggal dunia.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk di bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Haznan Basir memberitahu, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dengan beberapa jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari kenderaan terbabit dijalankan oleh anggota terlibat dan operasi selesai kira-kira pukul 7.50 pagi,” jelasnya. – K! ONLINE











