PUTRAJAYA 2 Julai – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menawarkan perlaksanaan kaedah pengurangan kadar kompaun secara automatik bermula semalam.
Menteri Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kaedah tersebut dilaksanakan sebagai langkah memudahkan syarikat menyelesaikan kompaun dalam tempoh yang ditetapkan.
“Pendekatan ini bertujuan memberi dorongan kepada komuniti korporat dalam mematuhi peruntukan Akta Syarikat 1965 dan Akta Syarikat 2016 selain memberi kelebihan kepada mereka menikmati kadar pengurangan kompaun yang lebih tinggi tanpa perlu mengemukakan rayuan pengurangan.
“Mekanisme dan kadar pengurangan kompaun secara automatik ini ditetapkan bermula 30 hingga 85 peratus pengurangan dari nilai asal kompaun dikenakan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Mengulas lanjut Saifuddin Nasution berkata, pengurangan tersebut ditetapkan mengikut tempoh pembayaran iaitu satu hingga 40 hari mendapat 85 peratus pengurangan ; 41 hingga 60 hari (75 peratus); 61 hingga 90 hari (60 peratus) dan 91 hingga 180 hari (30 peratus).
Justeru katanya, komuniti korporat disaran untuk mengambil peluang ini untuk menjelaskan kompaun bagi mengelakkan sebarang tindakan mahkamah dikenakan. – UTUSAN ONLINE











