KUALA LUMPUR 2 Julai – Yayasan MyAQSA (MyAQSA) mengutuk keras peristiwa perasmian laluan ibadah ‘pilgrimage road’ oleh Israel di kejiranan Silwan, Baitulmaqdis Timur.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Noorazman Mohd. Samsuddin berkata, peristiwa itu jelas menunjukkan pelanggaran dan pencabulan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas undang-undang antarabangsa, peraturan dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta UNESCO.
“Ini adalah satu lagi siri ‘Jenayah Perang’ yang dilakukan oleh Israel ke atas negara Palestin dan rakyatnya.
“Peristiwa ini menunjukkan AS secara jelas bersekongkol dengan gerakan puak-puak pelampau Yahudi, yang mahu merampas kawasan Palestin dan Masjidil Aqsa secara haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Noorazman, pembinaan laluan ibadah Israel (Pilgrimage Road) dan terowong haram ini juga secara langsung menjadi ancaman besar yang boleh membawa kepada keruntuhan sebahagian struktur Masjidil Aqsa.
Tambahnya lagi, tindakan tersebut jelas menunjukkan kerajaan pimpinan Donald Trump bersama dengan Israel secara rasmi melakukan pembohongan, pemalsuan sejarah dan penyelewengan fakta-fakta kenegaraan bagi proses ‘Pengyahudian Baitulmaqdis’ (Judaization of Jerusalem).
“MyAQSA menyeru kepada seluruh masyarakat dunia tanpa mengira batasan agama, bangsa dan negara supaya bersatu serta sama-sama menyuarakan bantahan dan kecaman, kerana pencabulan ini sekiranya tidak disekat, akan membawa kepada perampasan Masjidil Aqsa secara keseluruhannya bersama dengan keruntuhannya.
“Israel dan Amerika tidak akan berhenti setakat Pilgrimage Road ini malahan mereka akan meneruskan kezaliman ini di seluruh dunia,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











