PELABUHAN KLANG – Hasrat empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk keluar bekerja terbantut selepas dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) di Jeti Nelayan Foreshore, di sini, semalam.
Keempat-empat mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkingan 30 hingga 47 tahun ditahan kira-kira pukul 7.30 pagi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintenden Khairuddin Jamal berkata, tangkapan itu dibuat semasa rondaan Ops Pensura di sekitar kawasan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Siasatan mendapati dua PATI wanita itu adalah pekerja tukang cuci dan dua lagi lelaki merupakan tukang rumah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khairuddin berkata, sewaktu ditahan dalam perjalanan ke tempat kerja di Pelabuhan Klang dari Tanjung Harapan.
Tambah beliau, siasatan mendapati mereka ini dipercayai sudah berada di dalam negara sejak kira-kira empat tahun lalu.
“Kesemua PATI dibawa ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan menetap di negara ini tanpa pas dan permit yang sah,” katanya. – K! ONLINE











