Nombor plat TMJ, RZ dibenarkan - Utusan Malaysia

Nombor plat TMJ, RZ dibenarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan hari ini dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat menyebut bahawa pendaftaran nombor plat kenderaan istimewa dibenarkan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Selain daripada nombor pendaftaran yang mengikut kawasan pendaftaran, nombor pendaftaran istimewa telah turut diperkenalkan selaras dengan Kaedah 5A, Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pendaftaran dan Pelesenan) 1959.

“Pemberian nombor pendaftaran istimewa ini adalah berdasarkan kepada peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Menteri,” menurut jawapan daripada kementerian tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penjelasan itu merupakan jawapan kepada soalan daripada Pang Hok Liong (PH-Labis) semalam yang meminta kementerian menyatakan sama ada nombor plat ‘TMJ’ dan ‘RZ’ telah didaftarkan dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai pendaftaran kenderaan yang sah oleh mana-mana pihak, dan sekiranya tidak, sama ada kenderaan-kenderaan yang mempunyai nombor plat itu dibenarkan di atas jalan raya.

Namun berdasarkan jawapan bertulis itu, Kementerian Pengangkutan dilihat tidak menjawab secara spesifik nombor plat ‘TMJ’ dan ‘RZ’ seperti ditanya Ahli Parlimen daripada parti kerajaan tersebut.

Jawapan yang turut diberikan ialah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) telah memperuntukkan kuasa untuk mewujud, menetapkan, menguntuk dan mengenakan bayaran ke atas nombor pendaftaran sesuatu kenderaan kepada Menteri atau Pengarah bagi Pengangkutan Jalan yang dilantik di bawah Seksyen 3 akta tersebut.

“Seksyen 11 APJ 1987 telah menetapkan bahawa semua kenderaan yang telah didaftarkan perlu diuntukkan satu tanda indeks yang disebut sebagai nombor pendaftaran, bagi menunjukkan kawasan kenderaan didaftarkan.

“Pengarah pula boleh menetapkan kadar bayaran bagi nombor pendaftaran yang telah diuntukkan kepada kenderaan tersebut,” menurut jawapan Kementerian Pengangkutan.

Sebagai rekod, nombor plat  ‘TMJ’ digunakan oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan  Ibrahim manakala ‘RZ’ digunakan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini