KUALA LUMPUR- Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang bayi perempuan berusia empat bulan yang terperangkap dalam sebuah kereta di Taman Palm Villa, Kota Samarahan, Kuching, Sarawak.
Portal Utusan Borneo melaporkan, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi susulan menerima laporan pada pukul 8.25 pagi.
“Komander operasi melaporkan bayi terbabit terkunci di bahagian tempat duduk hadapan sebuah kereta yng enjin masih hidup serta diparkirkan berhampiran sebuah tadika.
“Anggota dari BBP Kota Samarahan mengambil masa kira-kira lima minit untuk membuka pintu kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, bayi tersebut dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada ibunya.
Tambahnya, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 8.40 pagi.-UTUSAN ONLINE











