KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menaruh harapan tinggi kepada pihak kerajaan agar serius menunaikan Janji 38 dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pengarahnya, Prof. Dr. Juli Edo berkata, sehingga pertengahan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) kerajaan masih belum memberikan keutamaan terhadap pembangunan masyarakat Orang Asli sehingga menyebabkan beberapa isu masih tidak dapat diselesaikan.
“Masyarakat Orang Asli kini berada dalam kancah kemiskinan apabila statistik menunjukkan 99 peratus masyarakat Orang Asli tergolong dalam kumpulan B40 dan kebanyakannya berada dalam kelompok miskin tegar.
“Dalam menangani isu pembangunan Orang Asli, Jakoa menaruh harapan yang tinggi agar kerajaan serius untuk menunaikan Janji 38 dalam Manifesto Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan maklum balas laporan Malaysiakini di sini hari ini.
Janji 38 dalam Buku Harapan bertajuk Membina Negara Memenuhi Harapan yang terkandung teras dan janji kerajaan PH menyatakan nasib Orang Asal di Semenanjung Malaysia akan diiktiraf, mengangkat martabat serta membela hak komuniti Orang Asal.
Tambah Juli, pihak kerajaan diharap dapat mengambil langkah yang lebih drastik, konstruktif dan bersandarkan pembangunan partisipatif dalam merealisasikan pembangunan masyarakat Orang Asli. – UTUSAN ONLINE











