KUALA LUMPUR 2 Julai – Budaya dan nilai kesopanan dalam kalangan remaja Malaysia dilihat semakin pudar apabila mereka sudah tidak lagi segan untuk berkongsi bahan-bahan lucah dan membuat aksi tidak senonoh secara langsung di media sosial seperti Instagram, Twitter, WhatsApp, Tinder dan TikTok, sejak kebelakangan ini.

Pakar dasar media dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Muhammad Adnan Pitchan memberitahu, malah mereka sudah hilang pertimbangan dan berkongsi video tersebut kepada pengikut yang mempunyai minat sama tanpa memikirkan kesan yang bakal hadapi.
“Trend ini semakin meningkat dan perlu dihentikan segera. Ini kerana menyebarkan video tidak senonoh seperti ini boleh dianggap sebagai satu bentuk buli siber,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Dengan mengambil contoh beberapa kes membabitkan artis-artis tempatan baru-baru ini, Muhammad Adnan berkata, selain menjejaskan reputasi, tindakan itu turut memberi kesan psikologi bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada keluarga.
Beliau turut menyatakan kebimbangan kerana ramai di antara pelaku melakukan perbuatan itu tanpa menyedari yang mereka sebenarnya boleh diambil tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 233 kerana menyalahgunakan rangkaian perkhidmatan internet.
Jika disabit dengan kesalahan katanya, mereka boleh dihukum penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
“Sementara mengikut Kanun Keseksaan Seksyen 292 pula, mereka yang didapati bersalah menghasilkan dan mengedarkan bahan lucah itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya,” jelasnya.
Sehubungan itu, Muhammad Adnan menasihati orang ramai supaya berhenti berkongsi atau melakukan aksi tidak senonoh secara langsung menerusi media sosial.
“Guna media sosial secara bijak dan elakkan diri daripada menjadi mangsa siber,” jelasnya.
Beliau juga meminta ibu bapa supaya memantau rapat ‘pergerakan’ dalam talian anak-anak mereka kerana tanggungjawab mendidik anak-anak ini terletak di bahu mereka dan tidak boleh diturunkan sepenuhnya kepada pihak lain seperti guru.
Pada masa yang sama, beliau turut menggesa mereka yang menjadi mangsa siber supaya mendapatkan bantuan dan nasihat daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dengan segera. – UTUSAN ONLINE











