Kanak-kanak dua tahun maut selepas terjatuh dalam kolam ikan - Utusan Malaysia

Kanak-kanak dua tahun maut selepas terjatuh dalam kolam ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut akibat lemas dan tidak sedarkan diri selepas terjatuh ke dalam kolam hiasan ikan di Kampung Labu Kubong, Lubuk Merbau di sini semalam.

Mangsa, Muhammad Aqil Irfan Muhammad Haffiez disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kira-kira pukul 1 pagi. 

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika kanak-kanak tersebut bersama ibunya berusia 38 tahun menghadiri rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kampung berkenaan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa yang berada di luar rumah tanpa pengawasan ketika itu dipercayai telah terjatuh ke dalam kolam hiasan yang terletak kira-kira empat meter dari pintu utama rumah berkenaan. 

“Kejadian tersebut hanya disedari seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang merupakan sepupu mangsa selepas dia melihat mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam kolam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Tambah Razali, mangsa yang tidak sedarkan diri itu kemudiannya diberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dia dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan kecemasan. 

“Mangsa kemudian dipindahkan ke HRPB untuk menerima rawatan lanjut pada hari sama namun disahkan meninggal dunia akibat lemas pada pukul 1 pagi. 

“Siasatan mendapati lokasi kejadian merupakan rumah kampung satu tingkat dan kolam tersebut dibina pemilik rumah untuk membela ikan,” katanya. 

Katanya, pemeriksaan di lokasi juga mendapati tiada pagar yang diletakkan di sekeliling kolam yang mempunyai kedalaman 0.6 meter itu. 

“Ibu mangsa pula berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku dan mangsa bermain dengan kanak-kanak lain di luar rumah. 

“Tiada sesiapa yang menjaga atau melihat mangsa bermain di kolam tersebut ketika itu,” katanya. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini