KUALA LUMPUR 1 Julai – Jumlah pelarian Rohingya yang semakin meningkat menuntut pelbagai pihak untuk terus menghulurkan bantuan sama ada dari segi kewangan mahupun pendidikan.
Menyedari keperluan itu, Malaysian Relief Agency (MRA) dengan kerjasama Kumpulan Auroras, Graduate School of Business Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) menyediakan sebuah program khidmat komuniti, Rise Improve Sustainability & Education (RISE) bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu pelarian Rohingya.
Selain itu, program ini juga bertujuan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif di Sekolah Komuniti Rohingya yang dikendalikan MRA.
RISE bergerak di bawah seliaan Dr. Nasuha Nordin bersama enam orang pelajar Sarjana Pengurusan Perniagaan UKM-GSB iaitu Mercy Jayabalan; Shanti Thirumoorthy; Siti Zulaikha Khairil Anuar; Yong Peei See; Nadhirah Abdul Halim dan Mavina Mugan.
Setakat hari ini, RISE telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM28,000 yang digunakan sepenuhnya untuk membiayai keperluan pendidikan di Sekolah Komuniti Rohingya selain untuk diserahkan kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman memaklumkan, dalam acara penutup projek RISE yang diadakan, MRA telah menerima cek berjumlah RM5,000 serta buku dan peralatan pendidikan bagi keperluan Sekolah Komuniti Rohingya daripada RISE.

Sumbangan itu disampaikan Nasuha kepada Pengurus Kanan MRA, Fauziah Tahar.
“Kita berharap program yang diadakan ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar pelbagai pihak menerima kesedaran mengenai isu pelarian Rohingya lebih-lebih lagi mengenai isu pendidikan terhadap kanak-kanak pelarian Rohingya di Malaysia,” kata Mohd. Daud dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











