KUALA LUMPUR – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan memohon kepada sebuah pusat perubatan swasta di Lembah Klang untuk mendapatkan sebatang kaki palsu bagi memudahkan bekas penyerang hoki negara, Harnahal Singh menjalani kehidupan hariannya.
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, legenda hoki yang pernah beraksi dalam Sukan Olimpik Mexico 1968 dan Munich 1972 itu kini hanya terlantar di katil di rumah sepupunya di sini setelah kaki kanannya dipotong akibat menghidap penyakit kencing manis.
“Sejak bersara dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2001, dia didapati menghidap penyakit itu pada 2006 dan baru-baru ini kaki kanannya kena potong. Dia juga kehilangan tiga jari kakinya yang telah lama dipotong kerana penyakit sama,” katanya ketika melawat Harnahal di sini hari ini.
Yakeb juga kata Noorul Ariffin akan cuba mendapatkan nasihat dan pandangan daripada doktor yang telah merawat legenda hoki itu selama 13 tahun sebelum membuat sebarang tindakan susulan, tidak lama lagi.
Beliau ditemani Pengurus Besar yayasan, Zuhairi Abdul Manaf dan Pengurus Operasi, Aminuddin Mohd. Nasir dalam lawatan selama dua jam itu.
Harnahal, 73, yang bermain di posisi penyerang apit kiri, pernah membantu Malaysia meraih tempat kelapan hoki Sukan Olimpik Munich 1972 iaitu pencapaian terbaik sepanjang sembilan penampilan skuad negara pada temasya terbesar dunia empat tahun sekali itu.
Satu lagi pencapaian terbaik dalam karier hoki antarabangsanya ialah meraih tempat ke-11 dalam pusingan akhir Piala Dunia Kedua di Amstelveen, Belanda pada 1973 setelah menewaskan Kenya 1-0 pada perlawanan penentuan tempat keseluruhan.
“Banyak pihak yang tahu tentang keadaan saya ini. Penyakit ini juga pernah menyerang bapa dan adik-beradik saya. Punca utamanya pada darah dan apabila saya mengalami luka, sangat sukar dan terlalu lama untuk pulih.
“Saya yang memilih untuk tidak meminta bantuan sesiapa termasuk badan induk hoki negara (Konfederasi Hoki Malaysia, MHC),” katanya yang berdaftar dengan Yakeb pada 2010.











