BUTTERWORTH – Seorang penumpang feri dikhuatiri maut selepas dipercayai terjun dari feri penumpang Pulau Kapas yang sedang menghala ke Pangkalan Raja Tun Uda, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 petang, mangsa, Lye Ah Yin, 73, dilihat terjun dari feri berkenaan oleh penumpang sebuah feri lain yang berselisih dengan feri Pulau Kapas.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam feri Pulau Kapas oleh Pegawai Operasi Feri mendapati sebuah kereta jenis Honda City milik mangsa didapati ditinggalkan di dalam feri.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa oleh polis marin, bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijalankan hingga 8 malam ini sebelum dihentikan berikutan cuaca gelap dan akan bersambung semula 8 pagi esok,” katanya di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE











