KUALA LUMPUR 1 Julai – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) bersama Ahli Majlis Anti-Dadah Pemadam hari ini telah meraikan ahli-ahlinya dan rakan strategik pada Jamuan Aidil Fitri.
Malah jamuan itu juga sempena dengan sambutan Hari Anti-Dadah Sedunia yang disambut setiap tahun pada 26 Jun.
Naib Yang Dipertua Pemadam, Datuk Omar Osman dalam ucapannya berkata, gerak kerja membanteras dadah perlu ada keseimbangan antara aspek kesihatan, hak asasi manusia dan keadilan undang-undang supaya selari dengan apa yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Dalam masa yang sama pendidikan pencegahan dadah dalam keluarga, sekolah, pemimpin komuniti dan belia mesti dipertingkatkan kerana kita khususnya Pemadam bertanggungjawab membantu kerajaan membina ahli masyarakat yang mempunyai jati diri, mengamalkan kehidupan yang sihat dan harmoni serta mengikut fitrah prinsip Rukunegara dan rukun agama masing-masing,” katanya.
Menurut beliau, konsep hidup penuh erti yang diamalkan oleh Pemadam bertujuan mengajak seluruh warga Malaysia mempraktikkan budaya hidup yang bijaksana, amanah, jujur dan mengajar orang lain melakukan perkara yang menepati hukum hidup sebagai insan.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi AADK, Datuk Idzhar Abu Talib dan Yang Dipertua Pengasih, Ramli Abd. Samad. – UTUSAN ONLINE











