Cemas sebelum ke final - Utusan Malaysia

Cemas sebelum ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERATURAN gol di tempat lawan membantu Kedah layak ke perlawanan akhir Piala FA, biarpun tewas 2-3 kepada Felda United pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kelmarin.

Kedah yang turun de­ngan kelebihan agregat 1-0 berjaya mendapatkan dua jaringan di tempat lawan menerusi Fernando Rodriguez pada minit ke-26 dan Farhan Roslan (m-37).

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, nasib menye­belahi pasukannya setelah kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 3-3 sebaik sahaja tamat perlawanan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menguasai aksi pada separuh masa pertama apabila mendapat dua jaringan, namun tuan rumah enggan me­ngalah dan hampir memusnahkan impian kita.

“Perlawanan ini sangat mendebarkan dan kita bersyukur kerana tuan rumah tidak berjaya menghasilkan gol keempat yang boleh meranapkan impian kami,” katanya selepas tamat perlawanan.

Menurut Aidil Sharin, pasukannya perlu menilai semula prestasi benteng pertahanan yang dilihat agak rapuh pada babak kedua.

“Kita perlu memperkemaskan benteng pertahanan untuk berdepan Perak pada perlawanan akhir nanti,” ujarnya.

Aidil Sharin memberitahu, semua pemain juga perlu menilai prestasi masing-masing agar segala kelemahan dapat diatasi.

“Kita semua tahu kemampuan Perak yang dilabelkan sebagai King of Comeback (Raja Kebangkitan) selepas menyingkirkan Pahang dengan agregat 4-3 biarpun mereka ke­tinggalan 3-1.

“Saya amat berharap Piala FA dapat dibawa pulang ke bumi Kedah pada tahun ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini