MALAYSIA tidak mencari ‘tiket percuma’ untuk beraksi pada Piala Dunia menerusi cadangan untuk negara-negara ASEAN membida bersama penganjuran Piala Dunia 2034.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan, untuk membida bukan satu perkara yang mudah memandangkan keperluan dan syarat ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebagai hos adalah tinggi.
“Idea itu (bida sebagai hos bersama) bagus tapi ia bukan suatu jalan yang mudah untuk layak ke Piala Dunia. Tapi mungkin ada netizen beranggapan (tindakan) FAM, (apabila) tidak boleh masuk (Piala Dunia) secara merit, cuba (pula) hendak masuk menerusi cara menjadi hos.
“Kalau dengan cara ini, saya sendiri pun tidak teruja (untuk bida). Idea daripada (Perdana Menteri) Tun Dr. Mahathir Mohamad itu bagus. Cadangan itu bagus untuk ekonomi dan ASEAN,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri FAM 2019 di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Hamidin berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyokong penuh usaha FAM bersama kerajaan untuk membida Piala Dunia 2034.
Tambahnya, sokongan itu disampaikan ketika Hamidin menghadap Sultan Abdullah di Istana Negara pada Jumaat lalu.
Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di Bangkok 23 Jun lepas, Pengerusi ASEAN, Jeneral Prayuth Chan o-cha berkata, kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.
Dr. Mahathir pada sidang kemuncak itu juga dipetik sebagai berkata, usaha tersebut mampu direalisasikan selepas lima negara ASEAN membangkitkan idea berkenaan.
Beliau berkata, keputusan negara anggota ASEAN untuk membangunkan usaha tersebut mampu memberi laluan kepada rantau ini sebagai penganjur kejohanan sukan terbesar di dunia itu. – Bernama











