Guru vs pelajar? - Utusan Malaysia

Guru vs pelajar?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
KRISIS
guru dan pelajar kini menjadi virus dan mula menular dalam masyarakat kita.

Generasi muda kita yang bergelar pelajar kini tergamak membuli, mencaci malah memperlekehkan guru mereka sendiri.

Hampir setiap hari ada sahaja laporan berkaitan isu pelajar melawan guru dan kini ia kian parah. Penyakit masyarakat apakah yang sedang melanda institusi pendidikan kita sekarang?

Memuatkan artikel berkaitan…

Apakah yang sudah seorang guru lakukan sehingga mereka dipersenda dan diperlekeh oleh pelajar?

Generasi muda kita hari ini semakin hilang adab terhadap guru yang merupakan pendidik mereka di sekolah.

Pada zaman di mana anak-anak diberi kesenangan dan kemewahan harta benda dan sentiasa dimanja memperlihatkan bagaimana ibu bapa turut mencampuri urusan guru di sekolah sehingga mengganggu tugasan mereka.

Ibu bapa juga mempertikai hukuman rotan, denda dan memarahi anak murid yang mereka anggap tidak lagi relevan dalam institusi pendidikan kini. Bahkan ada guru yang diserang, dimaki malah turut disaman.

Sikap ibu bapa ini sebenarnya menyebabkan anak murid mulai tidak menghormati guru atas contoh yang ditunjukkan oleh ibu bapa mereka sendiri.

Ibu bapa yang berkelakuan sebegini mungkin sudah lupa bahawa pada satu ketika dahulu mereka juga dididik dan diterap mengenai adab dan cara menghormati guru dalam menuntut ilmu supaya ia mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.

Ibarat kacang lupakan kulit mereka turut alpa dan yang mengajar anak-anak untuk biadap dengan guru.

Walaupun zaman berubah, namun cara pendidikan yang tegas tetap perlu diamalkan lebih-lebih lagi di peringkat sekolah. Ia ibarat melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Sebenarnya hukuman rotan, denda dan marah selagi kena pada tempat, cara dan keadaan apatah lagi untuk tujuan mendidik boleh dilakukan asalkan tidak sampai ke tahap mendera dan mencederakan pelajar.

Perkara yang sama juga dilakukan oleh ibu bapa di rumah untuk mendidik anak-anak mereka. Generasi muda inilah yang kita harapkan untuk menggantikan kita dalam meneruskan legasi pembangunan agama, bangsa, dan negara.

Usahlah mengajar anak-anak menjadi biadap. Jagalah hati guru anak-anak kita supaya mereka tidak merajuk sehingga tidak mempedulikan lagi anak murid di sekolah kerana sikap ibu bapa sendiri.

Sama-samalah kita mendidik anak-anak untuk terus menghormati dan menyanjungi guru mereka.

SITI NOORSIAH JAMALUDIN

UiTM, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini