HONG KONG 1 Julai – Selepas beberapa minggu berdepan siri protes besar-besaran menuntut Ketua Eksekutif wilayah, Carie Lam meletak jawatan, Hong Kong kembali ‘bergolak’ apabila ribuan penunjuk perasaan bertempur dengan polis rusuhan awal hari ini.
Protes berlaku ketika wilayah kepulauan ini menyambut ulang tahun ke-22 penyerahan semula pemerintahan Hong Kong dari Britain kepada China.
Kebanyakan penunjuk perasaan melaungkan ‘Free Hong Kong’, merujuk kepada membebaskan Hong Kong daripada ‘cengkaman’ China dan sekali lagi mendesak Lam meletak jawatan.
Lapor Reuters, penunjuk perasaan bertindak memecahkan cermin bangunan Parlimen di Harcourt Road menggunakan troli dan tiang besi dan menyerbu masuk ke dalam premis berkenaan.
Beberapa ahli Parlimen yang berada di dalam bangunan berkenaan merayu kepada penunjuk perasaan untuk tidak melakukan sebarang rusuhan.
Polis bertindak melepaskan penyembur lada dari atas bangunan untuk menyuraikan sejumlah penunjuk perasaan, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan pelajar.
“Apa sahaja berlaku, kami tidak akan menyerah kalah. Penentangan bukan perkara perlu dilakukan satu hari atau seminggu, tetapi untuk jangka masa panjang,” kata salah seorang penunjuk perasaan, Jason Chan.
Terdahulu, polis rusuhan yang lengkap memakai helmet dan baton ‘merempuh’ ke arah penunjuk perasaan serta mengangkat kain rentang berwarna merah bagi memberi amaran mereka akan bertindak tegas jika rusuhan terjadi.
Sementara itu, majlis sambutan ulang tahun penyerahan semula pemerintahan Hong Kong di Hong Kong Convention & Exhibition Centre dihadiri oleh Lam, kemunculan pertamanya di khalayak ramai dalam tempoh hampir dua minggu, ditemani bekas pemimpin Hong Kong, Tung Chee-hwa.
Pihak berkuasa mengawal ketat keselamatan di sekitar kawasan tersebut.
Seorang wanita cedera di kepala selepas bertempur dengan polis, di luar kawasan majlis berkenaan dan pihak berkuasa turut melakukan beberapa penahanan.
Sesetengah penunjuk perasaan membaling telur ke arah polis.
Seramai 13 anggota polis turut dikejarkan ke hospital selepas disimbah dengan ‘cecair tidak diketahui’.
Dalam majlis itu Lam berkata, kerajaan perlu gaya tadbir urus untuk lebih bertolak ansur dan terbuka serta berjanji memberi lebih banyak manfaat kepada golongan muda.
Lam sebelum ini ditentang hebat selepas bertindak melaksanakan rang undang-undang (RUU) yang membolehkan mana-mana penduduk di wilayah ini yang terlibat dalam kegiatan jenayah diekstradisi ke tanah besar China.
Beliau bagaimanapun menangguhkan keputusan terbabit selepas tercetusnya rusuhan paling besar dan ganas dalam tempoh beberapa dekad pada 12 Jun lalu. – AFP/agensi











