JAKARTA 1 Julai – Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi mengajak semua pihak untuk melupakan perbezaan pilihan politik yang telah memecah belahkan rakyat negara ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelantikan calon Presiden dan calon Naib Presiden terpilih di bangunan Komisi Pemilihan Umum (KPU), Jakarta Pusat, semalam.
“Saya mengajak seluruh rakyat Indonesia untuk melupakan perbezaan politik yang sempat memecah belahkan kita: nombor dua (Prabowo Subianto-Sandiaga Uno) dan nombor satu (Jokowi-Ma’ruf Amin),” kata Jokowi seperti dipetik Detik News.
Jokowi turut menekankan kepentingan penyatuan seluruh komponen rakyat negara ini bagi membolehkan pembangunan dapat dijalankan dengan baik.
“Kita perlu bersatu kembali menjadi Indonesia. Dasar Pancasila yang menyatukan kita semua,” kata Jokowi.
Jokowi selain itu mengajak Prabowo dan Sandiaga untuk bersatu dan bersama-sama membangunkan Indonesia.
“Saya yakin beliau berdua adalah pejuang bangsa yang mahu negara kita menjadi semakin kuat, maju dan adil serta makmur,” jelas Jokowi.
Selain itu, Jokowi juga mengumumkan akan meneruskan program pembangunan sebelum ini bersama Naib Presiden, Ma’ruf.
Sementara itu, Jokowi turut berharap Prabowo-Sandiaga akan menghadiri majlis pelantikannya sebagai Presiden kelak.
Menurut Jokowi, beliau mengakui berbesar hati sekiranya Prabowo dapat hadir pada majlis berkenaan. –AGENSI











