Penjual arak tiruan ditahan - Utusan Malaysia

Penjual arak tiruan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Padah menjual arak tiruan, tiga lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan kerana menjual arak beracun dalam satu serbuan di sebuah premis menjual arak di Jalan Pasar Baru, Semenyih, di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, serbuan dijalankan kira-kira pukul 1 petang oleh Cawangan Jenayah Berat (D9) Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang susulan maklumat yang diterima serta risikan yang dilakukan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan dua orang pembantu kedai warga Myanmar berusia dalam lingkungan 30-an hingga 45 tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah 60 tin minuman keras jenama Miludeer dan 130 tin minuman keras jenama Bieremark yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM2,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu IPD Kajang di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, tangkapan ke atas kesemua suspek dilakukan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga asing akibat keracunan methanol pada Jun lalu di daerah Kajang.

“Kita percaya kesemua arak beracun tersebut dihasilkan di luar negara sebelum diseludup masuk dan menjalani proses pembungkusan semula di Malaysia.

“Kesemua yang ditahan kini direman selama empat hari sehingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Ahmad Dzaffir berkata, pihak polis menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati kerana minuman keras tersebut telah dikenal pasti sebagai tidak selamat diminum berikutan kandungan metanol yang terdapat di dalamnya.

“Pihak polis juga telah menghantar beberapa sampel arak yang dirampas untuk dianalisa oleh Jabatan Kimia bagi menentukan kandungannya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini