KAJANG – Tindakan empat individu yang cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis berakhir dengan kemalangan selepas kereta yang dipandu oleh salah seorang suspek hilang kawalan dan terbabas di kawasan Eco Hill dekat Semenyih di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi sewaktu unit pasukan peronda (MPV) sedang melakukan rondaan di Jalan Sungai Long menghala ke Semenyih.
“Pasukan unit peronda berkenaan telah terlihat sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu secara mencurigakan dan telah menyalakan lampu ‘beacon’ sambil mengarahkan kenderaan tersebut untuk berhenti.
“Kereta tersebut bagaimanapun memecut untuk melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis dan dikejar oleh kenderaan MPV sejauh kira-kira 20 Kilometer,” katanya pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.
Jelas Ahmad Dzaffir, sebaik tiba di kawasan Taman Autumn Park, dekat Eco Hill, Semenyih, kereta dipandu suspek telah bertindak merempuh kenderaan MPV sebelum hilang kawalan dan terbabas.
“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati kereta berkenaan dinaiki oleh dua lelaki tempatan dan pasangan mereka iaitu dua wanita warga asing yang kesemuanya berusia awal 20-an.
“Dua lelaki tempatan tersebut bagaimanapun mengalami kecederaan patah tangan dan kaki susulan daripada kemalangan yang berlaku sebelum itu,” katanya.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas kenderan dinaiki suspek telah menemui sepucuk pistol angin serta sebilah pedang samurai dan ujian air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif dadah jenis methamphetamin.
“Permohonan reman ke atas kesemua suspek akan dibuat esok di Mahkamah Sesyen Kajang dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan kerana dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis.
“Kedua-dua suspek yang berusia awal 20-an itu ditahan orang ramai selepas menyamun seorang warga asing di Bandar Kesuma Beranang, dekat sini kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek masing-masing mempunyai lapan dan sembilan rekod jenayah lampau termasuk kes dadah,” ujarnya.
Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 170 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan menyamar sebagai penjawat awam. – K! ONLINE











