KUALA LUMPUR – Pelonggaran kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan membawa kitaran aliran masuk modal baharu ke pasaran pesat membangun termasuk Malaysia apabila pelabur kembali berusaha membuat keuntungan, kata AmInvestment Bank.
Ia mengekalkan unjuran tahun penuh Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada paras 1,820 mata.
Kedudukan FBM KLCI yang dinilai sebagai tidak mahal mungkin menjadi pemangkin dalam tempoh terdekat kepada pasaran ekuiti tempatan selain kejutan pendapatan syarikat korporat Malaysia didorong oleh kecekapan yang lebih baik, khususnya syarikat milik kerajaan (GLC) dan harga lebih baik di tengah-tengah pengukuhan dalam pelbagai sektor, kata firma penyelidikan itu.
“Selain itu, status ketegangan perdagangan/teknologi AS-China beralih daripada peningkatan kepada pelonggaran serta keyakinan terhadap prospek ekonomi jangka panjang Malaysia yang didorong oleh mengalihkan tumpuan kepada Perdagangan/Pelaburan Langsung Asing ke Malaysia di tengah-tengah perang perdagangan/teknologi antara AS dan China, boleh menjadi faktor yang menyokong pasaran tempatan,” katanya dalam nota penyelidikan.
AmInvestment mengharapkan aliran masuk portfolio asing ke Malaysia bertukar positif dan lebih ketara dengan mengandaikan bahawa pelabur akan mula memasuki ekuiti pasaran pesat membangun (EM).
Kitaran aliran masuk modal baharu ke EM telah pun berlaku dalam jumlah aliran dana mingguan global terkini.
“Dana bon EM kembali positif selama dua minggu berturut-turut apabila para pelabur memutuskan bahawa penyumbang besar dalam dasar monetari akomodatif oleh bank-bank pusat utama di dunia mengatasi tekanan daripada kelembapan ekonomi global dan ketegangan geopolitik perdagangan AS-China dan Timur Tengah,” katanya.
“Bagaimanapun, dana ekuiti EM kekal mencatat kerugian pada minggu yang berakhir pada 19 Jun, 2019, tetapi kami percaya perubahan arah aliran akan berlaku, kata firma penyelidikan itu.
Selain itu, pelonggaran kadar faedah AS juga boleh menyebabkan pengukuhan mata wang EM berbanding dolar AS atau sekurang-kurangnya mengelak pengukuhan dolar AS berbanding mata wang EM. – BERNAMA











