KOTA BHARU – Barisan calon yang menawarkan diri bertanding jawatan presiden dan exco Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) ‘wajib’ diberikan maklumat tepat berhubung jumlah sebenar hutang lapuk serta terkini membabitkan badan induk itu.
Calon Presiden Kafa, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, pendedahan itu amat penting bagi memastikan ‘pasukan’ yang bakal mengambil alih badan induk itu dapat melakukan perancangan terbaik dalam usaha memulihkan semula bola sepak Kelantan.
Beliau berkata, bukan sahaja calon malah persatuan bola sepak jajahan (PBJ) yang merupakan pemegang taruh kepada Kafa perlu mendapat maklumat yang betul berhubung perkara tersebut.
“Saya berpandangan Kafa perlu telus dan ikhlas dalam isu hutang jika mahu bola sepak Kelantan kembali ke landasan sebenar selepas mengalami kemerosotan yang teruk sejak kebelakangan ini.
“Saya khuatir jika jumlah hutang tidak dibentangkan secara terbuka ia dilihat boleh ‘membunuh’ bola sepak Kelantan kerana barisan kepemimpinan baharu yang bakal mengambil alih persatuan itu terpinga-pinga kerana tiada maklumat yang jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Abdul Rashid berkata, pengurusan bola sepak perlukan dana yang cukup besar dan apabila maklumat tepat hutang didedahkan maka tugas calon mencari wang bagi menggerakan Kafa lebih mudah.
Katanya, beliau difahamkan hutang lapuk dan semasa Kafa mencecah belasan juta ringgit.
“Sebab itulah semua calon memerlukan maklumat tepat bagi mengelakkan mereka keliru sekaligus merencatkan perancangan untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.
Selepas tamat pencalonan semalam, bapa pembangunan bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa; ahli perniagaan Datuk Seri Amril Aiman Abdul Aziz dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah turut dicalonkan untuk jawatan Presiden Kafa. -UTUSAN ONLINE











