KUALA LUMPUR – Semua pihak terutama pakar atau pensyarah daripada mana-mana institusi dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat mengenai isu pencemaran di Pasir Gudang, Johor.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya menghormati pandangan serta kepakaran semua pihak namun bimbang sekiranya pandangan tersebut menimbulkan kegelisahan.
“Saya hormati pandangan mereka namun dalam masa sama saya minta maaf dan nasihatkan agar mengehadkan komen atau pandangan mengenai isu tersebut.
“Cuma kalau boleh jangan ambil pendekatan yang boleh mencetuskan kebimbangan masyarakat,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Penyelidikan dan Kualiti Pegawai Dietetik Kementerian Kesihatan di sini hari ini.
Semalam, seorang pensyarah universiti tempatan memberitahu, gas akrilonitril yang dikesan dalam pencemaran tersebut mempunyai sifat karsinogenik sehingga boleh mengakibatkan kanser jika seseorang terdedah kepada gas itu setiap hari atau bagi tempoh yang panjang.
Kata pensyarah tersebut, gas itu juga membahayakan organ dalaman sehingga bertindak balas menghasilkan kanser untuk kesan jangka panjang. – UTUSAN ONLINE











