Bursa Malaysia ditutup kukuh pada akhir dagangan pagi - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia ditutup kukuh pada akhir dagangan pagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup lebih kukuh pada akhir dagangan pagi hari ini selari prestasi kebanyakan bursa serantau.

Sentimen pelabur didorong oleh hasil positif pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan rakan sejawatannya Xi Jinping dalam menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua negara.

Pertemuan di luar sidang kemuncak G-20 di Jepun itu berakhir dengan Trump dan Xi bersetuju menangguhkan tarif selanjutnya dan kembali ke meja rundingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada pukul 12.30 tengah hari, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.33 mata kepada 1,678.46 berbanding 1,672.13 pada penutupan Jumaat.

Indeks bergerak antara 1,674.91 dan 1,680.96 pada sesi pagi.

Kedudukan pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 519 berbanding 208, dengan 346 kaunter tidak berubah, 755 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.94 bilion unit bernilai RM1.05 juta.

Rakuten Trade Sdn. Bhd. dalam nota kajiannya berkata, berikutan perdamaian itu perang perdagangan yang meruncing antara AS dan China dilihat kembali reda sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

“Walaupun tiada pakatan muktamad, ramai pemerhati mengharapkan kedua-dua pihak mengelak daripada mengambil tindakan tidak rasional terhadap tarif.

“Oleh itu, kami percaya kegelisahan dalam kalangan pelabur kini reda dan mungkin kembali memasukkan dana ke pasaran ekuiti,” katanya.

Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 1.25 peratus kepada 3,363.28, Nikkei Jepun menambah 1.96 peratus kepada 21,693.66 dan SSE Shanghai naik 1.88 peratus kepada 3,034.80.

Sementara itu, peniaga lain percaya berita bahawa Arab Saudi dan Rusia bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah juga positif kepada kaunter berkaitan minyak dan gas (O&G). – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini