BUTTERWORTH – Kurang 24 jam selepas melakukan jenayah samun dan ugut menggunakan pisau, seorang penagih dadah akhirnya tumpas selepas dia ditahan polis kira-kira pukul 8.20 malam tadi.
Terdahulu, suspek berusia 52 tahun itu menyamun sebuah kedai runcit di Kampung Benggali dekat sini kira-kira pukul 4 petang semalam dan melarikan sebotol air Ribena dan wang tunai RM50.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, suspek juga dilaporkan mengamuk di hadapan sebuah pusat hiburan di Butterworth kira-kira pukul 3.45 petang dan mengejar pengurus pusat hiburan itu dengan sebilah pisau.
Tambahnya, sebaik sahaja menerima laporan kejadian tersebut, pihaknya meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di kedua-dua premis berkenaan dan berjaya mengenal pasti suspek.
“Menerusi rakaman CCTV, suspek dilihat melakukan kegiatan samun tersebut selain dia didapati merosakkan sebuah kereta dalam kejadian di pusat huburan.
“Suspek yang tidak mengenali kedua-dua mangsa dipercayai bertindak demikian kerana mabuk dan di bawah pengaruh dadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Difahamkan polis merampas semula wang tunai RM50 bersama sebotol air Ribena selain sebilah pisau daripada suspek.
Sementara itu, Noorzainy berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek yang mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah positif dadah jenis syabu.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 dan 506/427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











