KUALA TERENGGANU – Para penggemar durian berpeluang menikmati raja buah itu dari pelbagai jenis termasuk Musang King dengan harga murah sempena Pesta Jualan Durian Anak Beranak 2.0 yang dijangka diadakan minggu pertama bulan depan di pekarangan Pejabat FAMA Negeri Terengganu di Pulau Kambing di sini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, Fauzi Mohamed berkata, pihaknya menjangkakan antara 10 hingga 15 metrik tan durian kampung dari sekitar Setiu, Besut dan Kelantan akan dijual pada pesta tersebut yang dijadual berlangsung sehari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.
Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa lambakan durian itu akan dijual dengan harga terendah dan berpatutan sekitar bawah RM10 sekilogram berbanding harga pasaran.
Menurutnya, pesta kali kedua ini diadakan berikutan sambutan menggalakkan sejak mula diperkenalkan tahun lalu di tempat yang sama.
“Pada tahun lepas, sambutan cukup menggalakkan dan di luar jangkaan kami dan kesemua durian habis dijual hanya dalam beberapa jam terawal.
“Untuk Pesta Durian Jualan Anak Beranak 2.0 tahun ini, dijangka antara 10 hingga 15 metrik tan akan dijual dan kesemuanya kami beli dari pekebun untuk kami jual terus kepada orang ramai,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Hari Bertemu Pelanggan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri Bersama Usahawan FAMA Terengganu di pekarangan FAMA negeri di sini hari ini.
Menurut Fauzi, selain durian, turut dijual pada pesta itu nanti adalah rambutan serta manggis dengan harga RM10 setiap tiga kilogram. – UTUSAN ONLINE











