BUTTERWORTH – Seramai tiga beranak mengalami kecederaan melecur ringan selepas rumah mereka di Sungai Puyu dekat sini terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Mangsa merupakan seorang lelaki berusia 40-an yang melecur empat peratus di bahagian kaki; seorang wanita 30-an yang melecur dua peratus di bahagian kaki serta seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang melecur dua peratus juga di bahagian kaki.
Menurut jurucakap bomba dan penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.50 pagi tadi melibatkan sebuah bangunan satu tingkat yang dijadikan kediaman oleh tiga buah keluarga.
Katanya, kebakaran itu telah memusnahkan hampir 90 peratus bangunan tersebut termasuk bahagian hadapan sebuah kereta jenis Perodua Alza yang turut terbakar.
“Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 4.13 pagi dan operasi pemadaman turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela berdekatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











