JOHOR BAHRU – Pasir Gudang dibangunkan dengan perancangan yang terperinci daripada pelbagai sudut termasuk melakukan kajian impak pembangunannya terhadap alam sekitar sekali gus kawasan itu tidak didirikan dengan sewenang-wenangnya.
Pengarah Pusat Perancangan dan Pembangunan Inovatif, Fakulti Alam Bina dan Ukur Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Muhammad Zaly Shah Muhammad Hussein menegaskan, kejadian di Pasir Gudang tidak boleh dipersalahkan kerana pembangunannya semata-mata.
Beliau berkata, tanggungjawab kelestarian sesuatu kawasan itu terletak kepada pihak industri terlibat yang diberi kebenaran membina kilang-kilang mereka dengan pelbagai syarat ketat yang sudah ditetapkan pihak berkuasa dan ia bukan satu proses yang mudah.
Menurut beliau, pembangunan Pasir Gudang tidak boleh dipersalahkan kerana setiap kawasan dibangunkan mengikut pelan serta zon-zon yang berbeza seperti zon perindustrian, pertanian, perumahan atau komersial.
“Sesuatu pelan perancangan tempatan, daerah atau perbandaran perlu melalui proses yang ketat dengan mengenalpasti zon, dibincangkan, diwartakan termasuk seranta awam sebelum dikuatkuasakan untuk tujuan pembangunan itu.
“Seperti juga di Pasir Gudang, pembangunan kilang di situ dibina di kawasan perindustrian begitu juga dengan kawasan perumahan yang ditetapkan. Rumah dan kawasan industri berada berdekatan tidak salah kerana ia perlu untuk menyokong antara satu sama lain dan sudah pasti ia tidak dibangunkan dengan sesuka hati,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Muhammad Zaly berkata, isu pembangunan di Pasir Gudang tidak lestari adalah lebih kepada disebabkan sikap pihak industri itu sendiri selain penguatkuasaan yang lemah kerana mungkin ada di antara mereka yang melanggar syarat ditetapkan seperti tidak mematuhi peraturan membuang sisa kimia dan sebagainya.
Tambahnya, sekiranya pembangunan sesebuah kilang dirancang di dalam zon industri yang betul, maka pihak berkenaan perlu menjalankan kajian jenis pencemaran yang dihasilkan.
Katanya, sebagai contoh, Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu membuat penilaian menggunakan model pencemaran mereka untuk meramalkan kesan pencemaran industri yang dipohon kepada persekitaran termasuk penempatan penduduk serta sumber air.
“Jika terdapat bukti bahawa pencemaran yang membahayakan boleh berlaku, pihak JAS tidak boleh meluluskan permohonan atau pun meletakkan syarat-syarat tertentu.
“Waktu ini ia bukan lagi di dalam bidang kuasa atau kepakaran pihak perancang bandar kerana apabila industri sudah beroperasi, ia tanggungjawab pemantauan dan penguatkuasaan di kedua-dua belah pihak iaitu pengusaha industri dan agensi penguatkuasaan seperti JAS,” katanya. – UTUSAN ONLINE











