PARIS – Juara bertahan, Amerika Syarikat (AS) memahat rekod 10 kemenangan berturut-turut dalam saingan Piala Dunia Wanita apabila menumpaskan Perancis 2-1 untuk mara ke separuh akhir, sebentar tadi.
Megan Rapinoe muncul wira AS apabila meledak kedua-dua jaringan pasukan itu, sekali gus membawa mereka berdepan England di Lyon, Selasa ini.
Rapinoe meletakkan AS di depan seawal minit kelima menerusi sepakan percuma sebelum menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-65.
Perancis yang menerima sokongan padu penyokong tuan rumah di Stadium Parc des Princes menghidupkan harapan apabila Wendie Renard merapatkan jurang menerusi tandukan di minit ke-81.
Tuan rumah menggandakan asakan menuju ke penghujung permainan dalam usaha mencari gol penyamaan, namun disiplin tinggi yang ditunjukkan pertahanan AS menggagalkan usaha mereka.
AS kini berada pada landasan untuk memburu kejuaraan keempat selepas muncul juara 2015, 1999 dan 1991. – AGENSI











