IPOH – Semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi dan jabatan kerajaan negeri disaran menganjurkan majlis perayaan seperti Aidilfitri secara sederhana manakala lebihan peruntukan diguna bagi tujuan kebajikan.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini boleh dilakukan dengan memilih untuk mengadakan jamuan raya di hospital secara bersederhana dan pada masa sama meraikan kakitangan yang bertugas.
Katanya, inisiatif pihak Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) yang mengadakan majlis Aidilfitri di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) hari ini misalnya wajar dipuji apabila mengambil pendekatan berbeza.
“Saya kagum dengan apa yang dilakukan oleh pihak MB Inc. kerana memilih HRPB sebagai lokasi majlis jamuan raya dan meraikan petugas-petugas di sini secara bersederhana.
“Bajet selebihnya pula digunakan untuk disumbangkan kepada pihak hospital bagi kegunaan para pesakit. Langkah sama juga boleh dicontohi GLC lain.
“Bukan apa, setiap kali majlis raya anjuran GLC atau jabatan kerajaan saya akan berjumpa orang (pegawai) yang sama saja,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir pada Majlis Hari Raya Aidilfitri MB Inc. di HRPB di sini hari ini.
Hadir sama isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ding Lay Ming.
Terdahulu, Ahmad Faizal telah meluangkan masa melawat ke Wad Kanak-kanak HRPB serta menyampaikan sumbangan kepada para pesakit.
Kehadiran watak-watak siri animasi popular Boboboi iaitu Boboboi dan Yaya turut menceriakan suasana di wad berkenaan.
Pada majlis sama juga, pihak MB Inc. telah menyerahkan sumbangan 10 unit kerusi roda dan 10 unit infusion pump yang bernilai RM3,000 tiap satu kepada HRPB yang diterima Pengarahnya, Dr. Teo Gim Sian.
Sementara itu, Gim Sian dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pihak MB Inc. yang prihatin untuk menyumbangkan bantuan kepada HRPB. – UTUSAN ONLINE











