6 murid dikejarkan ke klinik akibat tumpahan merkuri - Utusan Malaysia

6 murid dikejarkan ke klinik akibat tumpahan merkuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Enam orang murid di Sekolah Rendah Islam Seri Ar-Rahmah Solok Gaung, Ayer Molek di sini dikejarkan ke klinik kesihatan kerana mengalami mual dan pening selepas terdedah kepada tumpahan merkuri. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu,  satu unit termometer telah pecah di sebuah kelas di blok yang diduduki seramai 14 orang murid.  

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba Alias Ahmad berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 12.17 tengah hari dan sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera bomba serta van Bantuan Perkhidmatan dan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pasukan bomba tiba di lokasi 11 minit kemudian dan melakukan kuarantin bagi memastikan semua mangsa bebas daripada pencemaran merkuri.

“Enam murid berusia antara 10 hingga 12 tahun mengalami mual dan pening dihantar ke Klinik Kesihatan Ayer Molek menggunakan jentera EMRS dan ambulans milik Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, insiden itu dipercayai berlaku selepas beberapa murid bermain-main di kelas berkenaan.

“Berdasarkan maklumat diperolehi, murid tidak memberitahu guru mengenai kejadian itu dan guru tersebut hanya menyedari termometer pecah selepas mendapati alatan terbabit tiada di atas meja.

“Sebaik sahaja menyedari termometer pecah, guru itu segera menghubungi bomba dan memindahkan semua murid ke surau di sekolah menengah berhampiran kerana bimbang kesan daripada tumpahan merkuri,” katanya. 

Katanya, kesemua enam murid terbabit kemudian dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas keadaan kesihatan mereka kembali pulih dan operasi nyahcemar selesai sepenuhnya pada pukul 12.53 tengah hari. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini