PUTRAJAYA – Tan Sri Othman Hashim dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang baharu.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, selaras dengan Subseksyen 6(1) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Othman sebagai Pengerusi Suhakam.
Selain itu kenyataan sama memaklumkan pelantikan tujuh lagi anggota Suhakam yang baharu.
“Pelantikan ini menurut subseksyen 5(2) Akta 597 dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda.
“Selain Othman, tujuh anggota berkenaan adalah Datuk Seri Mohd. Hishamudin Md. Yunus, Datuk Godfrey Gregory, Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Lok Yim Pheng, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Jerald S. Joseph dan Medaline Berma,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Ujar kenyataan itu lagi, pelantikan tersebut berkuat kuasa 27 April lalu dan adalah untuk tempoh tiga tahun.-UTUSAN ONLINE











