PUTRAJAYA – Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Othman Hashim dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bagi sesi 2019 hingga 2022.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelantikan beliau telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan subseksyen 6(1) Akta 597.
Menurut kenyataan itu, pelantikan Othman itu turut melibatkan pelantikan tujuh orang anggota Suhakam yang baharu.
“Anggota yang dilantik adalah Datuk Seri Mohd Hishamudin Md. Yunus, Datuk Godfrey Gregory, Datuk Mah Weng Kwai, Datuk Lok Yim Pheng, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh, S.J Jerald dan Medaline Berma.
“Pelantikan ini menurut subseksyen 5(2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 [Akta 597] dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pelantikan kesemua anggota baharu Suhakam berkuatkuasa 27 April lalu untuk tempoh tiga tahun.
Berdasarkan rekod, Othman menamatkan perjalanan kariernya bersama Kementerian Luar Negeri pada 30 Disember 2016 selepas lebih tiga dekad berkhidmat.
Othman dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu pada 1 September 2013 lalu. – K! ONLINE











