Aidil mahu anak, Fasha kata nanti

Aidil mahu anak, Fasha kata nanti

Fasha dan suami Aidil Aziz bahagia bersama-sama tiga orang anak mereka, Aisha Amaira Aidil, Putra Rayfal dan Putri Rasyha Jemyma.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMASUKI angka empat tahun membina rumah tangga bersama suami tercinta, aktres Fasha Sandha, tidak menolak, dirinya sering ditanya mengenai perancangan untuk menambah anak.

Ini bagi menyuntik lebih makna dan keceriaan dalam keluarga kecilnya.

Bersama suami yang juga pelakon, Aidil Aziz, Fasha, berbahagia untuk menerima kehadiran zuriat lagi.

Ini selepas dikurniakan cahaya mata ketiganya, Aisha Amaira pada 7 Ogos 2020.

Bagaimanapun, usaha untuk menambah zuriat bukanlah fokus aktres ini, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Pun begitu, kata Fasha, dia mengaku, perkara itu pernah dibincangkan bersama Aidil yang pernah menyatakan hasratnya untuk menimang cahaya mata lagi.

“Saya memang sukakan kanak kanak sejak zaman anak dara lagi. Dulu kalau ada masa lapang, saya sanggup angkut anak jiran bawa jalan ke sana ke sini.

“Tapi sekarang, cukuplah dulu ada tiga anak. Nak tambah lagi anak…lambat lagi. Aidil memang cakap nak baby boy pula tahun ini.

“Tapi sejujurnya, saya belum bersedia. Saya sibuk dengan komitmen seni dan duta produk,” katanya.

Fasha baru baru ini dilantik duta produk atau pengguna setia produk serbuk Vitamin C Gebu Glow baru-baru ini.

GELAGAT SUAMI

Sambil berseloroh secara santai, kakak kepada Elisya Sandha ini hairan juga dengan gelagat golongan suami yang baginya hanya tahu ‘meminta’ saja.

“Suami ini tahu minta saja, tapi yang usung kandungan sampai sembilan bulan, kita ini, orang perempuan juga.

“Tapi andai Tuhan beri rezeki hamil lagi, saya tak kata menolak. Saya tetap akan terima. Saya baru 37 tahun.

Mungkin sebelum masuk usia 40, saya boleh beranak lagi. Mujurlah suami memahami,” katanya.

Untuk info, selain Aisha Amaira Aidil, menerusi perkahwinan pertama, Fasha mempunyai dua anak iaitu Putra Rayfal dan Putri Rasyha Jemyma.

Dalam pada itu, Fasha terus kekal menjaga disiplin dan komitmen kerja sebagai kunci survival seninya yang sudah memasuki lebih 16 tahun.

Dalam erti kata lain, rutin hariannya sebagai manusia, ibu, isteri dan anak setiap hari akan bermula sesudah waktu Subuh.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah lewat sepanjang tempoh 16 tahun dalam ker­jaya seni. Mungkin juga ke­ra­na saya bermula sebagai se­orang model sejak usia 18 tahun.

“Ketika itu, kebanyakan call time akan bermula sekitar 4 atau 5 pagi. Orang lain mungkin tengah sedap tidur, tapi kami sudah mula bertugas memulakan solekan dan sebagainya.

“Jadi, mungkin sudah terbiasa dan terbawa-bawa sampailah sekarang. Saya suka bermula awal pagi.

Walaupun saya pulang lewat macam mana pun dan tak cukup tidur, saya tetap akan cuba bangun awal,” katanya.

Dia juga mengakui ‘mengunci’ jam pada tiga telefon bimbit supaya tidak terlewat untuk bangun pagi.

Selain itu, kata pelakon filem Cicakman ini lagi, sebagai seorang kakak, dia turut menurunkan tips dan nasihat yang sama kepada adiknya, Elisya.

“Daripada dulu lagi saya selalu ingatkan Elisya supaya jaga waktu. Jika dia terlambat, dia akan memberi kesan kepada nama saya. Tetapi Alhamdulillah, Elisya sangat mendengar kata.

“Saya juga selalu berpesan kepadanya supaya jangan berlagak diva. Ada rezeki lebih belanja kru makan. Itu cara juga untuk disenangi ramai,” katanya.

MELIHAT SUSAHNYA MENJADI IBU

Bercerita lanjut mengenai pelantikannya sebagai duta produk diusahakan adik beradik, Wawa dan Awien, Fasha mengakui memuji usaha mereka dalam membantu golongan wanita khususnya termasuk suri rumah dan ibu tunggal.

“Saya dan adik-beradik sebelum ini hidup susah dan pernah melihat kepayahan mama membesarkan kami sendirian tanpa ayah di sisi.

“Mama terpaksa kerja siang dan malam untuk menyara kami hingga jadi orang berguna.

“Saat teringat kenangan lalu, saya terpanggil membantu mereka (Wawa dan Awien).

“Mereka pun tak boleh bayar tinggi sebab nak tolong ejen bergelut di era pandemik. Saya okey kerana faham niat mereka yang nak bantu.

“Jadi awalnya saya tak letakkan harga kebiasaan kerana niat nak tolong. Cuma saya minta mereka jangan dedahkan harga dipersetujui.

“Segala galanya dipermudahkan hingga mereka melantik saya jadi duta.

“Pada akhirnya kalau sebut perihal ibu tunggal, saya teringat perjuangan mama.

“Saya pun pernah jadi ibu tunggal, tapi perjalanan dan liku hidup kami berbeza. Mama jadi inspirasi.

“Kalau ada duit lebih, kongsi dengan orang susah dan ia sangat berkat,” katanya.

Dalam pada itu, mengajak Fasha untuk bercerita mengenai perkembangan seninya.

Katanya, dia kini sedang menjayakan komitmen membintangi drama arahan Radius One Sdn Bhd.

Malah selepas kali pertama membintangi drama Scammer Mei tahun lalu di Astro Ria, jodohnya terus melekat dengan produksi berkenaan.

Ia diikuti dengan drama Khilaf Asmara bergandingan dengan Fahrin Ahmad, Nelydia Senrose dan Fattah Amin.

Seterusnya diikuti drama 80 episod yang masih melunaskan baki penggambaran iaitu Dendam Seorang Isteri buat kali pertama bergandingan dengan Nad Zainal.

Malah situasi itu menyebabkan bertebaran kisah kononnya dia anak emas produksi terbabit. Bagaimanapun dia menafikan perkara itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×