Kandungan tak senonoh di internet makin meningkat

Kandungan tak senonoh di internet makin meningkat

Semak semula tetapan privasi dan mengubahnya mengikut kesesuaian bagi membolehkan pemegang akaun media sosial menyekat orang yang tidak dikenali daripada melihat maklumat peribadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak dinafikan era globalisasi ketika ini, membawa kepada banyak kebaikan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Namun, sebenarnya ia juga sedang menjadi ‘barah’ yang semakin menular dalam kalangan masyarakat.

Buktinya, sepanjang tahun lalu sahaja, Forum Kandungan merekodkan 412 aduan berkaitan kandungan internet.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya dengan hanya 169 aduan dilaporkan.

Secara keseluruhannya pula, sejumlah 600 aduan melalui Portal Aduan, e-mel dan surat diterima mengenai pelbagai isu berkaitan kandungan merangkumi pengiklanan, penyiaran dan kandungan mudah alih.

Daripada jumlah tersebut, 69 peratus melibatkan kandungan tidak sesuai atau sensitif yang ditemui di dalam Internet, terutamanya di platform media sosial.

Antaranya adalah platform popular di internet seperti YouTube, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok, Snapchat dan seumpamanya.

Platform itu dilaporkan mengandungi sejumlah besar kandungan tidak ditapis dan dikawal selia sedangkan ia diakses hampir setiap hari oleh pengguna daripada semua peringkat umur.

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood berkata, setiap hari terdapat perkongsian kandungan tidak sesuai, berbahaya atau sensitif.

“Memandangkan ramai di antara kita tidak suka dikawal, maka terpulang kepada kita, para pengguna dan pencipta kandungan untuk mengamalkan kawalan kendiri bagi memastikan ruang maya ini selamat untuk semua pengguna.

Semua platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti mereka sendiri, oleh itu sekiranya anda melihat sebarang pelanggaran garis panduan tersebut, gunakan hak anda untuk membuat laporan,” ujarnya.

Bagaimana pun, tambahnya, jika kandungan tersebut tidak melanggar garis panduan tetapi memberikan rasa kurang selesa kepada pengguna maka tindakan sendiri boleh diambil seperti menyekat, memilih tetapan senyap atau berhenti mengikuti akaun berkenaan.

Tegasnya, pengguna disarankan untuk merujuk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengelak terjebak kandungan sensitif dan berbahaya.

“Ia merupakan satu set garis panduan amalan terbaik dan standard etika untuk penciptaan kandungan dan penggunaan merentasi semua platform media digital,” katanya.

Selain itu, pengguna media sosial turut digalakkan mengamalkan kawalan kendiri dan amalan selamat semasa menggunakan aplikasi sosial.

TIPS KAWALAN KENDIRI:
Semakan Privasi
Semak semula tetapan privasi dan mengubahnya mengikut kesesuaian bagi membolehkan pemegang akaun media sosial menyekat orang tidak dikenali daripada melihat maklumat peribadi atau foto yang boleh dimuat turun dan dikongsi dengan orang lain.

Gunakan kawalan ibu bapa
Manfaatkan ciri-ciri sedia ada seperti kekunci ibu bapa, penapis, kekunci masa dan sekatan keselamatan bagi mengelakkan anak daripada pemangsa digital.

Elak terlebih kongsi
Jangan berkongsi maklumat asas peribadi seperti tarikh lahir, alamat rumah, nombor
telefon atau pendaftaran masuk di lokasi. Ia boleh menarik minat pemangsa dalam talian untuk mengeksploitasi maklumat tersebut.

Perkongsian kekal
Setiap perkara yang dikongsi akan kekal dalam talian dan mustahil untuk dipadamkan. Sentiasa berwaspada supaya tidak menjadi mangsa jenayah pada masa hadapan.

Tingkat keselamatan kata laluan
Mencipta kata laluan yang kuat boleh mencegah dan menghalang penggodam daripada mengakses akaun media sosial. Tukar kata laluan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×