Hasil padi pesawah MADA merosot 50% - Suara Tani

Hasil padi pesawah MADA merosot 50% – Suara Tani

MOHD Shazwan Suban
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Hasil 40,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang terkesan dengan isu kelewatan pembekalan baja sebatian tambahan dijangka merosot sehingga 80,000 tan metrik atau sekitar 40 sehingga 50 peratus musim ini.

Anggaran kemerosotan tersebut selepas mengambil kira hasil pesawah yang kelaziman lima ke enam tan metrik perhektar dijangka menyusut sekitar tiga tan metrik sahaja.

Perkara itu turut memberi kesan kepada penghasilan beras negara yang dijangka merosot 48,000 tan metrik atau sekitar 40 peratus selain bakal menyebabkan sasaran peningkatan Kadar Sara Diri (SSR) beras Malaysia kepada 80 peratus semakin jauh.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, jumlah kemerosotan tersebut sekadar mengambil kira setiap pesawah menghasilkan tiga tan metrik padi per hektar berikutan masalah kelewatan baja tersebut.

Katanya, pesawah berdepan isu kelewatan pembekalan baja itu dijangka berdepan kemerosotan hasil antara 20 hingga 40 peratus iaitu daripada kelaziman lima ke enam tan metrik per hektar kepada hanya tiga tan metrik sahaja.

Beliau berkata, keadaan itu  juga dikhuatiri menyebabkan Malaysia terpaksa terus bergantung terhadap import beras bagi memenuhi permintaan domestik.

“Meskipun kerajaan sudah membekalkan baja tambahan tersebut yang selesai dalam tempoh 10 hari namun ia sudah tidak dapat lagi membantu pesawah yang kebanyakkan usia tanaman sudah melebihi 90 hari dan ada yang sudah menuai.

“Jika tidak ada sebarang masalah kelewatan, pesawah mampu mendapatkan hasil sekitar lima tan metrik per hektar dan kesan kemerosotan hasil musim ini (kelewatan baja), pesawah hanya mampu menghasilkan sekitar tiga tan sahaja.

“Baja sebatian tambahan tersebut sepatutnya diperlukan ketika tanaman padi memasuki peringkat reproduktif antara usia 40 hingga 60 hari bagi membantu pembentukan tangkai dan pengisian buah. Sekarang, kebanyakan usia tanaman sudah melebihi 80 hari, terlalu lewat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, media melaporkan, kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA masih belum menerima bekalan baja tambahan ketiga, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap hasil tuaian musim semasa.

Selepas beberapa bulan berlarutan, isu kelewatan bekalan baja sebatian tambahan itu akhirnya diselesaikan dengan penghantaran baki bekalan dalam tempoh 10 hari bermula 3 September lalu.

Masalah tersebut turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan SPRM melakukan siasatan berkaitan isu kelewatan baja berkenaan.

Mohd. Shazwan berkata, kesan kepada kemerosotan hasil  juga bakal menyebabkan hasrat kerajaan meningkatkan SSR beras semakin sukar.

Katanya, beberapa tahun kebelakangan ini, SSR beras negara terus menunjukkan trend menurun membimbangkan daripada 62.1 peratus pada 2020 kepada 52.9 peratus pada 2024.

Ujarnya, lebih membimbangkan, kemerosotan itu berlaku secara konsisten sejak lima tahun lalu, daripada 62.1 peratus pada 2020 kepada 60.9 peratus (2021), 57.9 peratus (2022), 56.2 peratus (2023), 52.9 peratus (2024) dan sasaran peningkatan 75 peratus pada 2025 juga gagal direalisasikan.

“Sejak beberapa tahun ini kadar SSR terus jatuh dan terlalu sukar dalam tempoh ini untuk meningkatkan SSR disebalik pelbagai masalah terus membelenggu masalah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×