KOTA BHARU: Di sebalik kesediaan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN) untuk meneruskan ‘pembebasan’ Selatan Thailand melalui perjuangan bersenjata, masyarakat Islam di wilayah itu pula lebih memilih jalan damai berbanding kekerasan.
Keutamaan majoriti daripada 7.6 juta penduduk Narathiwat, Pattani dan Yala adalah tidak mahu tragedi Tak Bai pada 25 Oktober 2004 berulang.
Menurut mereka, tragedi yang telah mengorbankan 85 orang itu adalah sukar dilupakan malah memberi kesan kepada kehidupan dan masa depan penduduk.
Seorang penduduk Tak Bai, Muda, 52, berkata, ketidaktentuan keselamatan berpanjangan hanya merencatkan pertumbuhan ekonomi dan kehidupan seharian masyarakat.
Katanya, peristiwa hitam itu menyebabkan penduduk sukar mencari rezeki dan menyara keluarga.
“Walaupun 22 tahun berlalu, peristiwa itu masih segar dalam ingatan seluruh penduduk pekan Tak Bai termasuk saya. Parutnya masih lagi dirasai apabila kawasan di wilayah Selatan Thailand masih tegang.
“Boleh dikatakan sebulan sekali ada sahaja letupan bom, insiden melepaskan tembakan dan serangan berlaku di Narathiwat, Pattani dan Yala,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengimbau semula peristiwa itu, Muda memberitahu, dia berada kurang 300 meter daripada lokasi perhimpunan di hadapan Balai Polis Tak Bai bagi mendesak pembebasan enam anggota sukarelawan pertahanan kampung.
Katanya, kesemua mereka ditahan kerana didakwa menyerahkan senjata kerajaan kepada kumpulan pemisah.
“Sebaik sahaja keadaan menjadi tegang, saya terus berlari menyelamatkan diri bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa,” ujarnya.
Sementara itu, penduduk Pattani, Suri, 30, berkata, kejadian bom bukan sahaja mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan malah menjejaskan kemampuan rakyat mencari rezeki.
Menurutnya, keadaan itu turut menyebabkan golongan muda sukar mendapatkan pekerjaan sehingga terpaksa berhijrah ke Malaysia bagi mencari sumber pendapatan.
“Kami mahu hidup secara aman damai. Apabila banyak berlaku insiden bom, rakyat yang terjejas dan sukar untuk mencari makan.
“Golongan muda pula sukar mencari kerja sehingga terpaksa berhijrah ke Malaysia. Walaupun gaji yang diterima di Malaysia lumayan, mereka terpaksa berjauhan dengan keluarga,” ujarnya. – UTUSAN










