Seorang pemancing ditemukan meninggal dunia, dua masih hilang

Seorang pemancing ditemukan meninggal dunia, dua masih hilang

ANGGOTA pasukan SAR mengangkat mayat salah seorang daripada tiga pemancing yang masih hilang selepas ditemukan di perairan Perak, pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Salah seorang daripada tiga pemancing yang hilang ditemukan meninggal dunia di perairan Perak, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd. Rahimi Zainol berkata, mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan memakai jaket keselamatan dan diikat pada sebuah tong.

“Mayat itu dijumpai oleh sekumpulan nelayan pada jara 11 batu nautika dari Bagan Sungai Belukang, Bagan Datuk kira-kira pukul 9.30 pagi. Keadaan fizikalnya juga masih baik,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Hadapan (PKH) Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa, di sini, semalam.

Tambahnya, mayat mangsa itu kemudian di bawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini bagi proses pengecaman oleh ahli keluarga.

Terdahulu pihak berkuasa terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor yang menyelaras operasi bersama polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meneruskan operasi SAR hari ketiga sejak pukul 7 pagi semalam.

Operasi SAR semalam tertumpu kepada mengesan tiga lagi pemancing yang dilaporkan masih hilang selepas empat lain sudah pun dijumpai pada pagi kelmarin dan dibawa ke HTAR di sini dan Hospital Banting.

Sementara itu, Pegawai Operasi Maritim Selangor, Leftenan (M) Mohd. Syafiq Sazali memberitahu, tumpuan pencarian kini diperluaskan ke kawasan perairan sempadan Selangor dan Perak susulan penemuan mayat berkenaan.

“Operasi pencarian di laut diperluas kepada 203 batu nautika persegi manakala pencarian udara membabitkan 4,008 batu nautika persegi. Pencarian menggunakan aset seperti bot, kapal dan pesawat bombardier,” ujarnya.

Beliau menambah, sebelum ini pencarian tertumpu di kawasan One Fathom Bank (Permatang Sedepa) yang terletak berhampiran dengan perairan sempadan Indonesia.

“Ada sebuah rumah api di situ. Kawasan tersebut biasanya, pemancing datang ke situ untuk memancing. Jadi, kita turut buat pencarian di sana dan kawasan perairan berhampiran sempadan Indonesia,” jelasnya.

Empat daripada tujuh pemancing termasuk seorang tekong yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing dari Jeti Sementa, Kapar, di sini, Ahad lalu, ditemukan selamat selepas lebih 24 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Keempat-empat mangsa yang ditemukan ialah Mohd. Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45; dan tekong, Zulfilkalnain Awang, 47.

Tiga yang belum ditemui Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37; Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43, dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, yang dikenali sebagai Tok Penghulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×