Boleh capai sasaran KDNK 2022 - Utusan Malaysia

Boleh capai sasaran KDNK 2022

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar ekonomi berpendapat, pertumbuhan ekonomi dijangka lebih baik dan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di antara 5.5 hingga 6.5 peratus amat realistik, berdasarkan prestasi KDNK suku keempat 2021 yang memberangsangkan.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ia juga berdasarkan pelan pemulihan yang telah dirangka dan ketegasan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau sebarang kekangan aktiviti ekonomi.

Ujarnya, negara juga bakal berhijrah ke fasa endemik dan membuka kembali sempadan negara, sekali gus membantu pemulihan ekonomi.

“Namun, kerajaan juga harus berhati-hati kerana pertumbuhan ekonomi yang baik dengan kerancakan aktiviti ekonomi ini akan merangsang permintaan domestik dari segi penggunaan mahupun pelaburan dan ini akan menyebabkan kenaikan harga barang.

“Ia sekali gus akan meningkatkan kadar inflasi negara. Justeru, kerajaan perlu memastikan bahawa inflasi ini terkawal, dan tidak membebankan pengguna, khususnya golongan B40 yang amat rapuh,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara untuk 2022 dalam julat 5.5 peratus hingga 6.5 peratus.

KDNK kembali kepada mod pengembangan (3.6 peratus) pada suku keempat 2021 selepas penguncupan sebanyak 4.5 peratus tahun ke tahun pada suku sebelumnya berikutan peningkatan kes Covid-19.

Bagi keseluruhan 2021, pertumbuhan ekonomi Malaysia melantun semula kepada 3.1 peratus berbanding -5.6 peratus tahun sebelumnya.

Sementara itu, OCBC Treasury Research dalam nota kajiannya berkata, pertumbuhan suku keempat itu bagaimanapun lebih perlahan daripada jangkaan 5.6 peratus yang dibuat sebelum ini namun melepasi konsensus pasaran (3.3 peratus).

Jelasnya, pertumbuhan positif itu berikutan pemulihan dalam penggunaan domestik dan aktiviti perniagaan selepas sekatan ketat yang dilaksanakan.

“Permintaan dalam negeri pulih dengan pantas dengan semua komponen perbelanjaan kecuali aktiviti pelaburan (sektor awam dan swasta) menyumbang secara positif kepada pertumbuhan ekonomi pada suku tersebut.

“Penggunaan persendirian melonjak semula dengan peningkatan 3.7 peratus tahun ke tahun apabila pengguna meningkatkan perbelanjaan di tengah-tengah pembukaan semula sektor ekonomi dan penarikan semula larangan perjalanan antara negeri,” ujarnya.

Justeru, OCBC Treasury Research mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia pada 6.0 peratus tahun ini dan menjangkakan prospek ekonomi akan menjadi lebih baik berikutan pemulihan tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN