KUALA LUMPUR: Pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, kedudukan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, 68, pula akan ‘beralih angin’ ke negara lain meskipun di peringkat awal ada khabar menyebut beliau akan menjadi Duta Besar Malaysia ke Switzerland.
Utusan Malaysia difahamkan, Kabinet telah meluluskan pelantikan Tajuddin, 74, sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia, malah pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Kabinet dah luluskan, Agong pun dah perkenan, Wisma Putra hanya menunggu surat pemakluman secara rasmi dari Jakarta yang difahamkan akan diterima dalam masa terdekat.
“Sementara itu, Nazri pula akan menjadi Duta Besarke Washington. Bagaimanapun, ia belum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, perkara itu masih dalam proses,” kata sumber berkenaan.
Sebelum ini, tular dalam media sosial kononnya nama Tajuddin dan Nazri ditolak kerajaan Indonesia dan Switzerland selepas Malaysia mencadangkan kedua-dua tokoh berkenaan sebagai duta di negara-negara berkenaan.
Utusan Malaysia juga difahamkan, kerajaan Switzerland menetapkan syarat penyandang Duta bukan dalam kalangan ahli politik.
“Pelantikan Nazri dipersetujui oleh Kabinet, tetapi halangan yang timbul seolah-olah menunjukkan Wisma Putra tidak membuat ‘kerja rumah’ berhubung syarat pelantikan Duta ke Switzerland,” jelas sumber itu lagi.
Bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dalam respons berhubung perkara itu berkata, ia seharusnya tidak menjadi isu kerana sebaran maklumat yang berlaku tidak menggambarkan proses sebenar dalam pelantikan duta Malaysia.
Menurut beliau, persetujuan atau penolakan calon dicadangkan oleh negara berkenaan dibuat secara rahsia sehinggalah watikah perlantikan dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Tajuddin sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani lima tahun, pernah menjadi wakil Malaysia ke beberapa negara luar termasuklah menjadi wakil ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau juga pernah mewakili kementerian dalam sesi libat urus ke negara luar termasuklah Itali, Kanada, Amerika Syarikat dan Australia.
Nazri memulakan perjalanan politiknya pada 1978 sewaktu berusia 24 tahun apabila dilantik sebagai EXCO Pemuda UMNO dan dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO pada 1993.
Nazri juga berpengalaman mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan daripada 1999 hingga 2004, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) (2004 hingga 2013) dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan (2013 hingga 2018).- UTUSAN










