Setiap orang memiliki haiwan peliharaan yang berbeza-beza. Kebiasaan gemar menjadikan haiwan peliharaan seperti kucing untuk dimanja.
Namun, ada juga golongan yang ekstrem yang menggemari haiwan lain seperti labah-labah dan kala jengking seperti yang dilakukan Zalhasrah Ahmad Fathillah, 28.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zalhasrah berkata, menjaga haiwan peliharaan eksotik mungkin nampak mewah, tetapi ia memerlukan tanggungjawab, pengetahuan dan dokumentasi yang betul bagi memastikan kebajikan haiwan itu terjamin.
Minatnya memelihara haiwan berbisa seperti labah-labah spesies tarantula dan kala jengking timbul selepas tertarik dengan siri dokumentari haiwan berbisa yang ditonton pada usianya masih kanak-kanak lagi.
“Minat saya semakin mendalam apabila suami, Goh Soon Heng, membelikan seekor tarantula daripada spesies Tiger Rump (Davus Pentolaris),” kata anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini.
Kini selepas empat tahun, Zalhasrah memiliki lebih 70 ekor haiwan yang merangkumi pelbagai spesies seperti labah-labah, kala jengking, mentadak, katydid, lipas, lipan, kutu kayu dan lain-lain lagi.
Zalhasrah turut membela beberapa jenis haiwan amphibia dan reptilia yang telah diselamatkan oleh suaminya yang juga doktor veterinar.
Antara jenis haiwan reptilia dan amphibia tidak berbisa dimiliki ialah Leopard Gecko, Bearded Dragon, ular sawa Bebola, ular jagung, dan katak White Tree.
Haiwan berbisa istimewa
“Haiwan eksotik ini yang unik. Contohnya bagi sesetengah serangga seperti kala jengking dari Afrika Utara, ia mempunyai bisa yang mampu merawat barah otak. Terdapat juga serangga yang mempunyai rupa dan bentuk yang sangat unik seperti serangga daun yang menyerupai daun dan mentadak orkid yang berbentuk seperti bunga orkid,” katanya.
Jelasnya antara serangga tergolong sebagai tercantik di dunia kebanyakannya berasal dari Malaysia dan menjadi impiannya untuk menjaga populasi serangga-serangga tersebut selain dapat memberi peluang kepada orang ramai mengenali dan menghayati haiwan ciptaan Allah SWT yang boleh dijadikan sebagai haiwan peliharaan sungguhpun berbisa,” katanya.
Berdasarkan pembacaannya, saintis yang menjalankan penyelidikan mengenai manfaat sesetengah bahan aktif di dalam bisa daripada sesetengah spesies Arachnida seperti Funnel Web Spider (Macrothele revani) atau Deathstalker scorpion (Leiurus quinquestriatus) mendapati ia boleh diguna untuk merawat penyakit kanser seperti leukemia.
“Antara spesies haiwan berbisa paling susah ditemui yang ada dalam koleksinya adalah labah-labah Six Eyed Sand (sicarius thomisoides) dan labah-labah Chinese Hourglass Trapdoor (Cyclocosmia Ricketti),” ujarnya.
Dalam kebanyakan haiwan peliharaannya, Zalhasrah paling sayang Chinese Hourglass Trapdoor kerana coraknya yang unik.
Tambahnya, ia adalah sejenis labah-labah yang hanya mempunyai corak unik di bahagian abdomen.
Menariknya, jika sekali pandang, coraknya tidak ubah seperti bentuk biskut coklat bulat.
“Walaupun penjagaan haiwan berbisa itu tidak susah namun agak rumit kerana sesetengah spesies tarantula atau labah-labah misalnya memerlukan kawasan yang bersuhu sejuk iaitu antara 24 hingga 27 darjah selsius.
“Untuk itu, semua haiwan yang dipeliharanya ditempatkan dalam bilik khas yang mempunyai pendingin hawa,” ujarnya.
Ini kerana kawasan tempat tinggal haiwan terbabit juga perlu berkelembapan tinggi iaitu sekitar 50 hingga 80 peratus.
Kos bela ratusan ringgit
Zalhasrah memberitahu, dari segi pemakanan pula, haiwan terbabit diberi makan lipas Turkistan antara dua hingga lima kali seminggu bergantung kepada saiznya.
Secara keseluruhan, kos penjagaan semua haiwan itu adalah antara RM200 hingga RM300 sahaja sebulan.
“Penjagaan haiwan tersebut kelihatan mudah tetapi saya sentiasa mengutamakan keselamatan dan berhati-hati ketika mengendalikan haiwan terbabit.
“Saya dan suami tidak akan sesekali memegang haiwan itu secara terus kerana turut mempunyai alahan kepada bulu tarantula (urticating hairs),” jelasnya.
Justeru, beliau menasihatkan bagi yang berminat untuk membela haiwan berbisa seperti ini supaya memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa anda membela haiwan berbisa.
“Tidak semua spesies yang memerlukan lesen untuk memeliharanya. Jika perlukan lesen, kita perlu membeli haiwan daripada kedai yang menyediakan resit pembelian untuk memudahkan permohonan permit daripada Jabatan Perhilitan,” ujarnya.
Selain itu, sentiasa berhati-hati dan hendaklah mendapatkan maklumat berkaitan haiwan berbisa itu terlebih dahulu sebelum membelanya.
Ini kerana membela haiwan berbisa adalah bahaya dan tidak sesuai dipegang atau dibelai selain hanya dapat dihargai dari luar tempat simpanannya sahaja.
“Saya tidak akan menjual haiwan peliharaannya itu meskipun jika ada yang berminat untuk membelinya. Ini adalah kerana kebanyakan spesies yang dimilikinya adalah jenis yang sangat berbisa.
“Ia merbahaya dan tidak bersesuaian untuk golongan yang tidak berpengalaman khasnya individu yang tidak membuat sebarang bacaan sebelum membuat keputusan untuk membela haiwan terbabit,” katanya.










