Jaga solat, hidup selamat - Utusan Malaysia

Jaga solat, hidup selamat

IDRIS Ahmad (kanan) melancarkan kempen Bulan Solat Peringkat Kebangsaan bertujuan menjadi pemangkin dalam meningkatkan kualiti ibadat terutama solat di Putrajaya, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOLAT adalah rukun Islam kedua selepas mengucap dua kalimah syahadat. Hierarkinya di tempat kedua itu pun sudah membuktikan kepentingan ibadat itu bagi setiap Muslim. Ia adalah pemisah antara orang mukmin dan kufur.

Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW: Daripada Abu Sufyan dia berkata, saya mendengar Jabir berkata: Saya mendengar Nabi SAW bersabda: Sungguh, yang memisahkan antara seorang lelaki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat. (Riwayat Muslim)

Baru-baru ini, sempena kedatangan bulan Rejab, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad melancarkan kempen Bulan Solat Peringkat Kebangsaan. Tujuannya, menjadi pemangkin dalam meningkatkan kualiti ibadat terutamanya solat.

Semua orang Islam tahu kefarduan solat. Cuma masih ada yang alpa dan lalai daripada mengerjakannya. Allah tegaskan tujuan penciptaan manusia dan jin menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (az-Dzariyat: 56)

Kita juga maklum bahawa dalam bulan ini, perintah solat difardukan ke atas baginda SAW dan sekalian umatnya. Ini dirakam dalam peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab. Peristiwa itu penting dari segi kerohanian selain menunjukkan betapa pentingnya ibadat tertentu khasnya solat yang diterima sendiri oleh Rasullullah SAW tanpa perantaraan Jibril.

Alhamdulillah, di negara kita ibadat solat boleh dilakukan tanpa sekatan. Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setakat 8 Februari lalu, terdapat 6,518 masjid dan 18,275 surau di seluruh negara. Pendek kata, tiada alasan untuk orang Islam tidak solat.

Cuma, bisikan dan tipu daya syaitanlah yang menjadi penghalang kepada individu daripada menunaikan solat.

Memang itu janji syaitan di hadapan Allah, selepas ia dilaknat dan diperintah keluar dari syurga kerana memperdayakan Nabi Adam dan pasangannya, Hawa.

Untuk itu marilah kita menjayakan kempen bulan solat dengan mengimarahkan masjid dan surau di sekeliling kita. Janganlah kita menjadi insan yang terlalu leka mengejar habuan dunia sehingga lupa tanggungjawab kita beribadat kepada Allah.

Sungguh menghairankan apabila ramai manusia yang sibuk bekerja siang dan malam mencari kemewahan hidup sering ‘lupakan’ si pemberi rezeki, iaitu Allah.

Dalam mengejar pangkat dan kekayaan itu ada yang sanggup ‘bertuhankan’ majikan. Kuatnya dia bekerja untuk mencapai indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh majikan sampaikan solat fardu antara lima ke 10 minit itu ditinggal dan diabaikan. Walhal solat itu perkara pertama yang akan ditanya Allah di akhirat kelak.

Ini disebut oleh Nabi SAW dalam hadisnya yang bermaksud: Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada hari akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya sempurna, maka dia akan berjaya dan menang dan jika solatnya kurang, maka dia akan rugi dan menyesal. (Riwayat al-Tirmidzi)

NAKAL

Bagi para suami, pastikan isteri dan anak-anak tidak meninggalkan solat. Ibadat inilah kunci kepada kebahagiaan baik dalam rumah tangga mahupun dalam hidup kita di dunia yang sementara ini. Aturkan jadual untuk solat jemaah bersama keluarga.

Paling tidak sekali dalam seminggu. Lebih-lebih lagi jika ada anak-anak kita yang nakal atau degil. Didiklah mereka dengan solat berjemaah, insya-Allah hati mereka kelak akan lembut dan mudah dilentur untuk mematuhi perintah Allah.

Inilah juga perkara yang wajib dilakukan oleh suami dan golongan bapa jika mereka benar-benar sayangkan isteri dan anak-anak iaitu memelihara mereka daripada api

neraka. Sebabnya, kemenangan paling agung adalah berada dalam syurga Allah bersama isteri, anak-anak dan keluarga.
Dalam masa sama, jika sering keluh-kesah dan dukacita walaupun rezeki melimpah-ruah, baikilah solat anda. Bermuhasabahlah. Jika selama ini kita solat, adakah dilakukan mengikut tertib, betul rukun dan syaratnya?

Jika kita sudah solat, adakah ia dilakukan pada awal waktu atau di penghujung waktu? Adakah kita solat berjemaah atau sering melakukannya bersendirian? Malah ada juga yang memberi pelbagai alasan jika diajak berjemaah oleh rakan-rakan di pejabat.

Janganlah kita menjadi orang yang diseksa dalam neraka sebagaimana firman Allah: Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)? Mereka menjawab: “Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat.” (al-Mudatsir: 42-43)

Solat yang sempurna adalah tonggak utama dalam mencorakkan keperibadian diri seseorang Muslim agar keimanan dan ketakwaan dapat diraih. Bukan berpenampilan baik dan sempurna semasa solat sahaja, malah di luar solat pun sama. Kita wajib berpenampilan yang baik sepertimana kita solat.

Oleh kerana itulah, Saidina Umar r.a amat mementingkan ibadah solat kepada pegawai-pegawainya dengan berkata: “Sesungguhnya yang paling penting dari urusan kalian adalah solat. Barang siapa yang menjaganya dan memeliharanya maka dia telah menjaga agamanya. Barang siapa mensia-siakannya, maka amalan yang lainnya akan lebih terabai.”

Demikian juga solat dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. Solat yang sempurna akan menjadi benteng kukuh atau firewall daripada termakan dengan pujuk rayu dan belitan iblis untuk melakukan maksiat. Orang yang sempurna solatnya tidak akan termakan umpan syaitan untuk makan riba, rasuah, minum arak dan sebagainya.

Ringkas kata, jaga solat hidup selamat.

Dalam kesempatan berada pada bulan Rejab, marilah banyakkan berdoa sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad SAW. Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Bahawa Rasulullah SAW apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa, Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna Ramadan. Ertinya: “Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.” (Riwayat Ahmad dan Tabrani)

Banyakkan berpuasa sunat sebagai persiapan menghadapi puasa Ramadan.

Selain itu, ulangkaji ilmu berkaitan puasa agar kita memasuki dan menjalani puasa Ramadan dengan pengetahuan dan pedoman yang baik dan sempurna. Ilmu mengenai puasa termasuklah yang rukun, syarat sah, syarat batalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, adab berpuasa dan sebagainya.

Membuat persiapan dari segi rohani dengan memperbanyakkan taubat kepada Allah dan saling bermaafan sesama manusia.

Membanyakkan doa agar Adikurniakan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberi taufik dan hidayah-Nya agar dapat tunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dan dijauhi daripada segala penyakit hati yang menghilangkan pahala puasa.

Akhirnya berazam laksana puasa Ramadan dengan sempurna agar beroleh takwa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×