Bencana alam dan pengurangan biodiversiti negara ini semakin membimbangkan.Tidak lain tidak bukan segalanya terjadi akibat tangan-tangan manusia yang sepatutnya menjadi pelindung kepada alam sekitar, tetapi bertindak sebaliknya.
Memandang serius perkara itu, Politeknik Merlimau (PMM) mengambil langkah proaktif mendidik pelajar mencintai alam sekitar melalui beberapa siri program yang telah dijalankan.
Antaranya program tanggungjawab sosial yang dijalankan menerusi Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) iaitu Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) dan Trash to Cash Bersama Komuniti Pantai Siring.
Pengurus JPH PMM, Surina Nordin berkata, program anjuran bersama Majlis Pembandaran Jasin (MPJ) itu bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar terutamanya laut di Melaka yang menjadi daya tarikan pelancong.
Ia juga sekali gus menyumbang kepada kesedaran sivik dalam diri pelajar untuk memelihara kelestarian alam.
“Kami di PMM mahu melahirkan pelajar dan komuniti yang peka akan alam sekitar kerana mereka merupakan generasi yang akan meneruskan penjagaan alam sekitar pada masa hadapan.
“Aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial seperti ini amat penting dalam memupuk nilai sayangkan alam lantaran mereka nampak realiti yang berlaku pada persekitaran alam ketika ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Program berlangsung di sepanjang satu kilometer Pantai Siring itu disertai 77 warga PMM.
Ia dilaksanakan dengan para peserta berjalan kaki seperti beriadah dan santai.
Antara sampah dikutip termasuklah botol plastik, ranting kayu, plastik makanan dan pelbagai lagi sekali gus dapat mencantikkan lagi Pantai Siring yang merupakan salah satu destinasi pelancongan negeri Melaka.
Sementara itu, barangan terpakai seperti baju dan minyak masak, turut dibawa para pensyarah untuk disumbangkan kepada MPJ bagi tujuan kitar semula.
“Program gotong-royong KUDAH anjuran MPJ ini memberi pendedahan luas terhadap kepentingan menjaga dan seterusnya mengubah imej pantai di Melaka.
“Bagi saya, jika kita sukar untuk mengubah dunia, ubahlah diri kita sendiri untuk lebih menghargai laut dan pantai kita kerana ia berpotensi sebagai pusat pelancongan yang turut merupakan salah satu sumber ekonomi Melaka,” katanya.
Kesedaran meningkat
Terdahulu, program sama turut dijalankan di Sungai Melaka dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Negeri Melaka (PPSPM) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Melaka (MOTAC) yang melibatkan sembilan pensyarah dan 19 pelajar.
“Bila kita buat program ini kita nampak perbezaan pada para pelajar. Mereka jadi kian peka keadaan alam sekitar.
“Mereka juga jadi tidak mahu membuang sampah merata-merata bila mereka lihat sendiri keadaan pantai dan sungai yang bertaburan sampah. Ia bukan sahaja kotor malah mencacatkan pemandangan,” ujarnya lagi.
Tambah Surina, fokus paling penting adalah menanam kesedaran sivik dalam diri pelajar dan komuniti untuk mencintai alam sekitar.
Jelasnya, program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang kerana memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada PMM tetapi kepada negeri Melaka khususnya.
“Program ini bukan sahaja dapat memberi pengalaman kepada warga PMM dalam menjalankan aktiviti khidmat masyarakat, tetapi turut menerapkan nilai membudayakan riadah dalam kehidupan seharian,” katanya.










