TELATAH ayam serama memperagakan dadanya dengan ‘megah’ selain keunikan serta kecantikan haiwan tersebut cukup memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
Jadi tidak hairanlah penggemar dan penternak haiwan tersebut begitu teruja dan sanggup meluangkan masa serta tidak kisah berhabisan ribuan ringgit demi hobi tersebut.
Malah, memelihara ayam serama juga mampu menjana pendapatan lumayan apabila harganya boleh mencecah hingga lima angka, khususnya bagi serama yang selalu berada di kedudukan teratas pertandingan.
Seorang penternak ayam serama, Syed Muhamad Zaki Syed Nordin, 47, berkata, bermula sekadar suka-suka dengan memiliki sepasang ayam serama pada 2013, kini haiwan peliharaannya itu sudah lebih 250 ekor.
Pernah diberikan jolokan Raja serama peringkat Asia dalam pertandingan di Tasik Kenyir, Terengganu pada 2016, katanya daripada ratusan ayam itu, ada kira-kira 10 ekor yang paling cantik dan aktif yang digilap untuk menyertai pertandingan.
“Aragon 5188 antara paling glamour, ia sudahpun menjuarai lebih 50 kali pertandingan. Keunikan Aragon 5188 terletak pada susunan bilah balungnya yang cantik, warna merah terang selain gaya apabila berada di atas meja di depan pengadil bagi sesuatu pertandingan. Apabila di atas meja, Aragon 5188 rajin mengibas,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Syed Muhamad Zaki, dia sanggup membelanjakan lebih RM900 sebulan untuk kos makanan dan penjagaan ayam seramanya.
Keistimewaan serta keunikan ayam serama terletak pada beberapa segi antaranya kecantikan, mudah dijinakkan, keunikan bentuk badan dengan dada ke hadapan, senang dilatih dan bentuknya yang sangat menarik.
Keindahan haiwan itulah yang membuatkan para penggemar cukup teruja dengan hobi membela haiwan itu. Malah katanya ayam serama juga mendapat permintaan tinggi dengan harganya boleh mencecah sehingga RM20,000.
“Ada antara peminat ayam tersebut pernah menawarkan harga sehingga RM15,000 bagi membeli salah seekor ayam saya yang pernah menang pertandingan, namun saya masih belum sedia melepaskannya lagi.
“Setakat ini, saya sudah jual lebih 50 ekor serama dengan nilai keseluruhan sudah lebih RM100,000. Ada yang dijual dengan harga RM2,000, RM3,000 dan sehingga RM6,500.
“Menjadi satu kepuasan bagi kami yang memelihara ayam serama selain menikmati kecantikannya sekali gus dapat melepaskan tekanan selain mendapat kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Kembali jadi fenomena
Seorang penternak ayam serama dari Kampung Pulau, Simpang Empat, Arau, Abdul Rahman Hussin,44, berkata, dia memperuntukkan kira-kira RM300 sebulan daripada aspek pemakanan dan kesihatan haiwan terbabit.
“Ayam serama memerlukan penjagaan rapi seperti mandi, kesihatan dan sebagainya. Namun memperlihatkan bila ia mendada cantik, ia menjadi suatu kepuasan buat saya,” katanya.
Seperti penggemar ayam serama yang lain, Abdul Rahman turut gemar membawa ayamnya menyertai pertandingan. Malah dengan bangganya dia memberitahu sudah beberapa kali menang pertandingan ayam serama.
“Daripada kesemua ayam serama yang saya pelihara, kira-kira lima ekor yang saya selalu bawa masuk bertanding,” katanya yang memiliki lebih 100 ekor ayam serama yang mula dipelihara sejak tiga tahun lalu.
Pengusaha harumanis itu, memberitahu ayam serama peliharaan dijual antara RM50 hingga RM1,000 seekor.
Mengulas mengenai perkembangan semasa ayam serama, katanya sejak kebelakangan ini, ia kembali menjadi fenomena di seluruh negara dengan Perlis sahaja mencatatkan kira-kira 50 penggemar serama.










