KUALA LUMPUR: Tiada sebarang perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada masa ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, perbincangan hanya dibuat bersama blok pembangkang, namun tidak membabitkan PN kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas adalah sebahagian daripada kerajaan.
“Buat masa ini, tidak ada apa-apa ikatan, kita (PH) pun tidak berbincang apa-apa dengan mereka kerana kita merasakan ia sukar untuk dibuat, harus diingat yang PN juga adalah sebahagian daripada kerajaan. Macam mana kita nak bincang dengan mereka?
“Susah juga la macam ni sebab dia duduk dalam kerajaan. Kalau pembangkang macam kami, lain ceritanya. Tetapi kalau mereka (PN) nak datang bincang dengan kita, terpulang. Cuma untuk sekarang ini, perbincangan bersama pembangkang memang kita adakan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Aminolhuda memberitahu Utusan Malaysia dengan menyarankan PN mengambil tindakan berkecuali pada PRN Johor sekali gus memberi laluan kepada PH dan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding.
Namun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan yang parti itu akan bertanding dengan Pas menggunakan logo PN dan keputusan tersebut adalah sebahagian resolusi dicapai dalam muzakarah kedua-dua parti itu.
Mengulas lanjut, ketika ditanya adakah PH bersedia untuk menerima hakikat keputusan, Aminolhuda hanya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat keputusan terbaik untuk pentadbiran lebih bersih di Johor.
“Betul, kalau ikutkan keputusan PRN Melaka, keputusan antara PH dan PN adalah lebih dan mendahului Barisan Nasional yang hanya peroleh undi popular hanya 38 peratus sahaja. Tetapi disebabkan pecah, keputusan jadilah macam ni.
“Apa pun, kita serahkan kepada rakyat, tapi kalau lihat kepada rakyat kehendak, rakyat akan melihat siapa lebih layak untuk membawa bangkit semula Johor ni. Untuk dibawa ke hadapan dalam keadaan ekonomi, moral nak pemimpin, di situlah masyarakat yang bermoral juga akan lahir,” ujarnya lagi.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, BN meraih undi popular sebanyak 38 peratus, sementara PH meraih 36 peratus, dan PN memperoleh 24 peratus. – UTUSAN










